Air Terjun Berkelah, Maran (Pahang)

Author: Shafeeq Badek, CORE Republic

SEKAPUR SIRIH

Air Terjun Berkelah terletak di daerah Maran, Pahang. Ianya terletak lebih kurang 34 km daripada bandar Kuantan (ke arah Pahang).  Ianya terkenal melalui keindahan 7 peringkat kolam yang terdapat di sana, dan yang paling terkenal adalah Kolam 7. Sebenarnya, ianya mempunyai lebih lagi daripada itu. Namun, 7 peringkat kolam ini adalah yang sering dikunjungi oleh penggemar aktiviti rekreasi. Di setiap kolam terdapat tapak perkhemahan dan yang paling ramai pernah dikunjungi pada satu masa adalah Kolam 7, seramai 180 orang.

Aktiviti yang sering dijalankan adalah seperti mendaki ke Kolam 7, berkelah di bahagian biasa, memancing dan berkhemah. Aktiviti tambahan yang boleh dilakukan di Air terjun Berkelah pula adalah aktiviti tali tinggi seperti canyoning, abseiling, fly-frop dan zipline.

Permukaan denai pendakian ke Air Terjun Berkelah adalah terdiri daripada permukaan simen, tanah, akar, dan batu-batuan. Disebabkan oleh permukaan batu yang licin, peserta sering diingatkan untuk berhati-hati ketika melaluinya. Dan disebabkan majoriti kawasan airnya yang dalam (maksimum mencecah 10 meter), adalah dinasihatkan untuk menggunakan PFD (Personal Floatation Device) atau lebih dikenali sebagai Life Jacket.

TENTATIF

Untuk menikmati perjalanan dan keindahan alam di Air terjun Berkelah, tentative yang dicadangkan adalah untuk ekspidisi 2 hari 1 malam dengan keperincian berikut:

HARI 1
0600 : Berkumpul di Masjid Kampung Gelugor

0700 : Menaiki kenderaan Lori

0730 : Tiba di tapak permulaan

0800 : Taklimat, regangan dan mula mendaki

0830 : Tiba di kolam 1 dan 2

1000 : Tiba di kolam 3

1100 : Tiba di kolam 4

1200 : Tiba di Kolam 7. Membuka peralatan perkhemahan

1300 : Makan Tengahari. Aktiviti Bebas

2000 : Makan Malam. Aktiviti Bebas

HARI 2

0800 : Sarapan pagi. Aktiviti Bebas

1200 : Makan tengahari. Mengemas peralatan perkhemahan

1300 : Bergerak turun

1330 : Tiba di Kolam 4

1430 : Tiba di Kolam 3

1530 : Tiba di Kolam 2

1730 : Tiba di Pintu Rimba. Menaiki Kenderaan Lori untuk keluar

1800 : Tiba di tempat letak kereta

1900 : Ucapan penutup. Bersurai

PERALATAN YANG DIPERLUKAN

Berikut adalah perkongsian saya terhadap peralatan yang diperlukan mengikut aras kepentingan melalui pernomboran 1 = sangat penting, 10 = sangat tidak penting.

PERINGKAT 1

1. Pakaian trekking yang sesuai

Memastikan bahawa pakaian yang dikenakan adalah bersesuaian untuk aktiviti sukan dan air. Ini kerana, disepanjang perjalanan menuju tapak perkhemahan, kumpulan ekspidisi akan berhenti di mana-mana checkpoint yang bersesuaian bukan sahaja untuk bergambar, malah untuk bermandi-manda (bermain air). Set pakaian yang disarankan adalah berbaju drifit dan berseluar outdoor (seluar hiking, seluar tight)

2. Kasut trekking yang sesuai

Kawasan denai dari pintu rimba ke tapak perkhemahan di ekspidisi ini adalah unik kerana ianya menggabungkan elemen denai hutan seperti tanah, akar, batuan. Dan pada masa yang sama, ianya adalah berpotensi untuk pengguna mengalami kecederaan disebabkan beberapa kawasan berbatu yang berlantai licin. Dianjurkan kepada ahli ekspidisi untuk menggunakan water shoes, atau jika ingin berjimat, untuk menggunakan ‘kasut getah’ seperti contoh di dalam gambar di atas.

3. Lampu dan bateri

Walaupun tiada pergerakan diwaktu malam, perlu diingatkan bahawa ekspidisi ini akan berkhemah di dalam hutan dimana tiada kemudahan lampu disediakan. Sebarang bentuk pencahayaan adalah bergantung kepada peralatan yang kita bawa. Ini untuk memudahkan pergerakan peserta untuk ke ‘tandas’, bersiar-siar dan pelbagai lagi. Pada masa sama, ianya adalah merupakan disiplin yang terpenting didalam mana-mana bentuk ekspidisi. Jenis lampu yang disarankan adalah ‘headlamp’. Bagi mereka yang baru menceburi bidang, digalakkan untuk sekadar beli headlamp yang biasa dengan anggaran harga bawah RM 20.

4. Telefon, kabel, power bank

Untuk memastikan sebarang kemungkinan, adalah disarankan bahawa peserta membawa telefon masing-masing yang sudahpun di caj penuh, dan pada masa sama membawa power bank dan kabel masing-masing. Sememangnya perkongsian peralatan ini adalah diizinkan. Namun, ianya adalah tidak digalakkan untuk mengelak ‘terlupa minta semula’.

5. Wisel

Dari sudut disiplin keselamatan, wisel adalah bertujuan untuk menarik perhatian orang lain apabila berlaku sesuatu kecemasan. Ianya haruslah pada setiap masa berada dekat pada badan ahli ekspidisi. Jadi, bilamana berlaku perasaan sesat atau tergugat, ini akan memudahkan ahli ekspidisi lain untuk sedar dan mengesan mangsa.

6. Medical kit

First Aid kit akan dibawa oleh pihak penganjur. Namun, disebabkan tidak mempunyai persijilan ahli farmasi, ianya adalah ‘salah’ untuk memberikan ubat-ubatan kepada orang lain tanpa terlebih dahulu memahami lebih mendalam isi kandungan ubat, dan tanpa mempunyai pemahaman yang baik terhadap masalah alahan individu. Jadi, khususnya bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma, diwajibkan untuk membawa dan memaklumkan kondisi tersebut kepada penganjur, untuk pemantauan dari masa ke masa.

7. Tisu

Tisu biasa (bukan wet wipe) digunakan bukan sahaja untuk lap mulut yang berminyak, namun ianya juga digunakan untuk ke tandas. Penggunaan tisu biasa ini adalah baik kerana ianya adalah biodegradable. Manakala wet wipes akan memakan masa yang panjang untuk lerai.

8. Botol air 1.5L

Disepanjang perjalanan, terdapat kawasan-kawasan yang mempunyai kanopi yang terbuka, dan adakalanya tiada. Ini akan menyebabkan anda berasa kehausan. Dijangkakan, dengan bekalan asas 1.5 liter air masak/mineral, dapat membantu menyegarkan diri pendaki.

9. Bag yang sesuai

Pada kebiasaannya, minima bag yang disarankan adalah 40 Liter ke atas. Beg yang kecil adalah disebabkan peralatan samada yang tidak sesuai atau yang lebih advance dari pendaki biasa. Dan jenis beg yang disarankan adalah dari jenis beg mendaki gunung atau seumpama. Ini kerana teknologi dan binaanya yang telahpun disesuaikan dengan penggunaan kasar pada jangka masa panjang. Gambar yang diberikan hanyalah sekadar untuk ilustrasi

10. Peralatan makanan persendirian

Jarang bagi pihak penganjur untuk menyediakan sekali set peralatan makanan peribadi kepada peserta. Ianya adalah seperti pinggan, cawan, sudu dan garfu. Untuk aplikasi hutan, kebiasaannya peserta akan membawa Messtin, cawan boleh lipat dan sudu-garfu sendiri. Gambar di atas adalah merujuk kepada Messtin. Pasti pernah nampak, kan?

11. Plastik Beg sampah

Kegunaan plastik beg sampah adalah pelbagai di dalam hutan. Ianya boleh digunakan sebagai alas, sejadah, emergency blanket, dan yang paling normal adalah membungkus beg. Untuk mendapatkan sebuah tapak perkhemahan yang efisen, sebaiknya beg yang dibawa dibalut dengan plastik sampah dan diletakkan diluar khemah. Pada masa sama, satu lagi plastik beg sampah digunakan untuk mengisi peralatan-peralatan peribadi untuk mengelakkan basah daripada hujan.

12. Pakaian tidur yang sesuai

Untuk memastikan kehidupan malam adalah selesa, sebaiknya menyediakan sepasang pakaian tidur. Juga disarankan untuk membawa sehelai kain pelikat/batik untuk memudahkan proses penukaran baju dan kepelbagaian lain, khususnya kecemasan.

13. Kelengkapan tidur yang sesuai

Untuk mendapatkan pengalaman tidur yang terbaik, sebaiknya peserta membawa masuk Carrymat, Sleeping bag dan bantal angin. Carrymat merupakan alas yang memisahkan badan dengan tanah, kerana permukaan tanah pada waktu malam adalah sangat sejuk yang mampu mengganggu keselesaan tidur. Sleeping bag pula adalah peralatan biasa yang dibeli oleh rakan pendaki gunung. Namun, untuk tapak perkhemahan seperti Kolam 7, sudah memadai bagi sesetengah orang sekiranya menggunakan kain pelikat/sleeping liner. Kerana posisi tidur yang rapat dengan orang lain, dan perkongsian haba. Dan, untuk menambahkan keselesaan, dianjurkan juga untuk membawa bantal angin yang bersesuaian. Gambar yang diberikan di atas adalah merujuk kepada carrymat. Kegunaan dia lebih kurang macam yoga mat juga.

PERINGKAT 2

1. Life jacket

Bukan sahaja untuk mereka yang tidak pandai berenang, penggunaan PFD adalah sangat dianjurkan untuk menjamin keselamatan peserta. Ini adalah kerana kolam-kolamnya yang besar, khususnya di Kolam 7. Ditambahkan lagi dengan kedalaman kolamnya (ada yang mencecah 10 meter). Malahan, dengan adanya PFD tersebut boleh dijadikan sebagai kesediaan untuk membantu sebarang bentuk kecemasan air.

2. Pisau

Pengutamaan adanya pisau adalah sebagai bantuan keselamatan. Ini banyak ditekankan dalam kelas yang menjurus ke arah survival. Pada masa sama, ianya bertujuan untuk memudahkan pengguna dalam proses untuk memotong tali/duri, dan juga dalam proses penyediaan makanan peribadi.

3. Kudap-kudapan

Selain membahagiakan, tujuan kudap-kudapan adalah untuk membantu memberi tenaga dari masa ke masa. Ianya boleh dimakan pada ketika pergerakan atau pada ketika henti sebentar di mana-mana checkpoint.

4. Set mandian

Set asas adalah seperti tuala microfibre, sabun, berus gigi dan ubat gigi. Namun, ianya boleh juga dikongsi antara ahli ekspidisi melalui perbincangan awal. Ini adalah untuk meringankan beban dan keperincian barang.

PERINGKAT 3

1. Goggle

Untuk lebih menikmati sesi mandi-manda, berenang dan pemandangan di dalam air, digalakkan juga untuk ahli ekspidisi membawa kelengkapan akuatik masing-masing seperti goggle dan fin. Kalau ada lah. Kalau tak ada pun, tidak mengapa.

2. Payung

Pergerakan mendekati dan meninggalakan Kolam 7 adalah berada di kawasan yang kurang ke tiada kanopi hutan pada waktu tengahari. Dengan ini, bagi mengelakkan kepanasan melampau atau sun burn, digalakkan untuk peserta membawa payung peribadi. Pada masa sama, payung juga boleh digunakan untuk dijadikan tempat berteduh beg yang diletakkan di luar khemah. Pada gambar di atas, adalah contoh size payung yang digunakan. Ianya tidak semestinya besar. Memadai kecil dan paling penting, ringan.

3. Poncho

Selain untuk mengelakkan hujan, poncho juga boleh digunakan sebagai tambahan tempat berteduh atau sebagai penutup kepada peralatan di kala hujan. Walaubagaimanapun, adalah tidak digalakkan untuk menggunakan poncho ketika sedang berjalan kerana ianya mampu untuk membuatkan penggunanya rasa kepanasan. Ini adalah disebabkan oleh haba yang terperangkap dari badan tidak dilepaskan ke udara luar dengan efektif. Bagi mereka yang baharu dalam bidang, digalakkan untuk membeli poncho asas yang murah.

4. Set dapur peribadi

Jikalau anda mengikuti ekspidisi ini dengan teman yang rapat, kebiasaanya akan ada sesi untuk memasak mee segera atau air panas sendiri, sambil berkelah sesama sendiri. Untuk ini, digalakkan anda untuk membawa set dapur peribadi. Juga sebagai salah satu cara untuk memenuhi masa yang ada semasa di Kolam 7 itu nanti.

5. Makanan segera

Makanan segera juga digalakkan bawa sekiranya anda membawa set dapur peribadi. Percayalah, makanan segera yang rasanya sekadar biasa-biasa di kawasan bandar akan terasa nikmat yang tertinggi apabila dijamu di dalam hutan. Khususnya dalam keadaan kepenatan! Hehe

PERINGKAT 4

1. Kad permainan

Akan ada sesi malam yang jika anda adalah seorang yang tidak mahir dalam membuka bicara, akan berasa kebosanan. Untuk memeriahkan suasana dan menggunakan masa, dianjurkan untuk membawa kad permainan seperti Uno. Ini boleh memulakan proses merapatkan ukhwah diantara ahli ekspidisi yang turut serta pada tarikh tersebut.

INGIN KE AIR TERJUN BERKELAH? HUBUNGI KAMI DAN DAPATKAN QUOTATION PERCUMA:

Tel No : +6 012 776 7426

Whatsapp : www.wasap.my/60127767426

Email : admin@corerepublic.my



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *