Apa nak dibawa untuk DAYPACK?

Featured / Information

Admin
August 26, 2019

Share

Apa nak dibawa untuk DAYPACK?

Author: Shafeeq Badek, CORE Republic

SEKAPUR SIRIH

GAMBAR 00 : Kelengkapan (hampir) penuh peribadi saya untuk ‘Daypack’

Istilah ‘daypack’ telah lazim digunakan oleh rakan pendaki gunung di Semenanjung Malaysia yang menunjukkan ekspidisi balik hari. Atau dengan kata nama lain, ‘ekspidisi sehari’. Ini mungkin datangnya disebabkan dari perkataan beg yang disediakan untuk seharian perjalanan. Perjalanan ini secara umumnya lebih diklasifikasikan asalkan ianya tidak melebihi tempoh 24 jam, atau tidak melepasi paras 12 malam. Namun, ada juga yang mengistilahkan ‘daypack’ sebagai ekspidisi yang mempunyai sinaran matahari.

Secara peribadi, saya telah klasifikasikan keperluan ‘Daypack’ kepada 5 fasa berdasarkan kepentingannya.

Penulisan ini adalah sekadar berlandaskan pengalaman mendaki gunung dan juga daripada perkongsian ilmu dari rakan-rakan pendaki lain. Ianya dipraktikkan sepertimana yang ‘sesuai’ pada mata pandangan penulis dan juga pada masa sama, berlandaskan kepada spektrum bentuk aktiviti yang dijalankan oleh penulis.

Set-set ini akan berubah dari masa ke masa, bergantung kepada ilmu semasa yang saya ada. Kemungkinan, seminggu selepas penulisan telahpun ada ‘upgrade’ terbaru terhadap penulis. Ini adalah kerana dari masa ke masa, penulis mengamalkan prinsip “hope for the best, but planned for the worst”.

set-set yang bakal saya kongsikan ini bukanlah kesemua set yang saya ada. Ini adalah untuk menunjukkan set yang saya gunakan berkaitan dengan istilah ‘daypack’ sebagai pendaki secara umum.  semoga bermanfaat!

PENGKELASAN

Fasa pertama adalah dengan berkelengkaan nombor 01 sehingga nombor 07. Ini adalah untuk ekspidisi ringkas yang memakan masa keseluruhan 2-3 jam sahaja. Contoh pendakian seperti ini adalah ke Gunung Lambak.

Fasa kedua adalah dengan berkelengkapan nombor 01 sehingga nombor 16. Ini adalah untuk ekspidisi separa ringkas dimana jangkaan masa pendakian adalah daripada 3 – 6 jam. Contoh pendakian adalah seperti ke Gunung Tok Wan.


Fasa ketiga adalah dengan kelengkapan nombor 01 sehingga nombor 22. Ini adalah untuk ekspidisi yang lebih mencabar dengan jangka masa pendakian 6-12 jam. Contoh pendakian adalah ke Gunung Nuang.

Fasa keempat adalah dengan kelengkapan nombor 01 sehingga nombor 27. Ini adalah untuk ekspidisi yang lebih bersiaga. Pendakian seperti ini adalah dijangka untuk jangkamasa 12 – 19 jam. Contoh ekspidisi adalah seperti ke Gunung Semangkok.

Fasa kelima adalah dengan kelengkapan nombor 01 sehingga nombor 29. Ini adalah untuk sebuah persediaan yang menghampiri tahap tertinggi (peralatan peribadi buat masa ini). Pendakian seperti ini adalah dijangka untuk jangkamasa 19-24 jam. Contoh ekspidisi adalah seperti pergi ke operasi mencari dan menyelamat.

01. WISEL

Gambar 01 : Wisel dengan tali

Wisel merupakan komponen paling penting dalam mana-mana ekspidisi saya. Kebiasaannya, wisel akan saya rantaikan di leher pada setiap masa ekspidisi dan ianya akan terus diletakkan disebelah dalam baju. Baik ketika berjaga, ataupun ketika tidur. Ini adalah berdasarkan prinsip ‘kecemasan boleh hadir pada bila-bila masa’. Waimah harga wisel tersebut murah, ianya sudah dikirakan ‘jauh lebih baik’ berbanding daripada tiada.

Desibel yang ada pada wisel tersebut akan menyebabkan bunyi pekikkan pergi lebih jauh, khususnya dalam hutan yang banat seperti hutan Malaysia kita yang tercinta. Untuk menarik perhatian orang lain pada waktu kecemasan, tenaga yang digunakan untuk mengeluarkan ‘bunyi’ dengan menggunakan wisel adalah jauh lebih sedikit, effektif dan efisen berbanding dengan laung/jerit menggunakan suara sendiri.

Sebaiknya, tali wisel adalah dari jenis yang boleh terputus dengan sendirinya dengan adanya mekanisma pelepasan. Ini kerana persediaan daripada berlakunya situasi penjerutan leher pada saat kecemasan hasil daripada tersangkut kepada ranting/dahan atau bendasing lain. dan sebaiknya, wisel adalah di luar baju pada setiap waktu. Supaya masa yang diperlukan untuk mencapai wisel dikala kecemasan dapat dijimatkan selama beberapa saat.

Didalam aspek kemalangan, persediaan 1 saat lebih awal dapat membezakan antara hidup dan mati.

02. LAMPU

Gambar 02 : set lampu yang terdiri daripada lampu kepala, lampu perkhemahan, bateri cas semula, bateri pakai buang AAA, bateri pakai buang AA dan ‘zip-lock bag’)

Tidak membawa lampu adalah pantang no 1 saya! Kalau ada peserta ekspidisi yang tidak membawa lampu, khususnya yang melibatkan sesi bermalam, memang beliau akan diceramah dengan bukan gaya lembut.

Set/unit lampu peribadi akan dapat mengelakkan dari pendaki tersebut jadi ‘buta’. Waktu gelap umum di hutan Malaysia boleh diletakkan bermula pada jam 6 petang. Memang pada biasnaya di bandar atau kampung, jam 6 petang masih lagi cerah. Fenomena ‘gelap awal ‘ adalah disebabkan purata kanopi hutan Malaysia yang lebat lagi meneduhkan. Ini masih belum mengira faktor kabus sepertimana yang pernah saya alami di Gunung Ledang pada satu masa dahulu. Disebabkan kehadiran kabus yang tebal dan matahari yang dilindungi awan, jalur pendakian menjadi sangat gelap seolah-olah sudah jam 7 .30 petang. Maka, saya terpaksa menggunakan ‘headlamp’ saya untuk meneruskan perjalanan yang sebenarnya masih pada jam 1 tengahari!

Melalui pemerhatian dan kepentingan aspek keselamatan ini, Sebaiknya, sumber lampu adalah lebih dari 1 unit. Ini mengambil kira kebarangkalian lampu sedia ada rosak secara tiba-tiba dan mengambil kira apabila ada ahli ekspidisi yang tidak membawa lampu (tidak sengaja atau masih belum peka).

Secara peribadi, saya membawa 3 unit lampu kepala pada setiap masa (Petzl 80 Lumen, Petzl Tikka 200 lumen, Petzl Actik Core 350 lumen), 3 papan bateri AAA (jenama asal ada), 1 papan bateri AA (jenama asal ada), 2 batang lampu LED (boleh dicucuk kepada power bank), 1 beg plastic Zip-lock dan 2 unit bunjut (yang boleh dirantai antara satu sama lain).

Ziplock adalah bertujuan untuk melindungi bateri pada setiap masa. Elak daripada basah yang kemudiannya boleh membawa kepada mudah karat. Dan pada masa yang sama, dijadikan disiplin diri untuk tidak meninggalkan bateri di dalam headlamp. Kalau terlupa terus, boleh menyebabkan bateri berkarat di dalam badan headlamp. Maka? Headlamp pun rosak.

Bateri saiz AA pula disediakan untuk penggunaan GPS atau sebagai bantuan kepada mana-mana rakan ekspidisi yang menggunakan lampu bersumberkan tenaga bateri AA.

2 biji headlamp bantuan, 2 unit LED akan diletakkan didalam satu bunjut. Baki 1 biji headlamp beserta bateri-bateri yang telah diletakkan didalam zip-lock akan diletakkan dalam bunjut yang lagi satu. Dan, kedua beg ini akan saya ikatkan supaya tidak berpisah. bergantung kepada ekspidisi. Kalau ianya santai, akan di pisahkan dan hanya diambil yang utama.

03. DRY SACK

Gambar 03 : Beg Drybag dan 2 plastik ziplock.

Penggunaan drybag pada saya adalah untuk mengisi peralatan yang ingin saya cepat gapai. Ianya saya kepilkan di tali ‘shoulder’ sebelah bawah. Penggunaan ini pada saya adalah untuk mengisi telefon, rokok, puntung rokok dan sampah-sampah kecil. Untuk mewujudkan elemen ‘double security’, saya menggunakan ziplock untuk bersedia menghadap hujan.

04. BEKAS KALIS AIR

Gambar 04 : Bekas kalis air.

Tujuan penggunaan beg kalis air adalah untuk memastikan bahawa barang lain seperti kunci kereta, beg dompet dan kertas maklumat permit sentiasa dijamin selamat dari ancaman air hujan, saya menggunakan bekas beg plasti seperti gambar di atas. Saya tidak menggunakan drybag biasa kerana bungkusannya yang akan menjadi sedikit besar. Dan tidak saya gunakan drybag nipis kerana lapisan dalamannya yang mudah rosak disebabkan geseran dari barang (khususnya kunci).

05. PEMETIK API

Gambar 05 : Lighter

Kegunaan pemetik api yang bukan sahaja untuk diri seorang perokok, ianya juga sebagai kesediaan menghadapi keperluan seperti untuk membuat api atau sebagai api pemula untuk stove yang dah rosak starter-nya. Dan dalam bahagian ‘survival’, pemetik api juga membantu dengan memainkan peranan yang sangat penting.

Ada beberapa sebab disarankan membawa lebih pemetik api. Antaranya adalah sebagai persediaan untuk menghadapi batu pemetik api basah. Mungkin disebabkan hujan, jatuh di sungai dan pelbagai lagi. Namun, antara sebab utamanya adalah kerana sangat lazim bagi rakan-rakan perokok untuk mencuri lighter antara satu sama lain. Ini biasanya bukanlah disengajakan. Contohnya, saya tidak mengenali keempat-empat pemetik api di atas, waimah ianya dalam genggaman saya. He he

Melalui beberapa video yang pernah dimuat-naik oleh rakan-rakan pendaki, ianya adalah lebih praktikal untuk menggunakan pemetik api yang menggunakan percikan eletrik (betul ke istilah ini?) sebagai pemulanya. Ini kerana berbanding yang menggunakan ‘batu gesek’, pemetik api eletrik tetap mampu menyalakan api selepas direndam air.

06. TELEFON

Gambar 06 : Telefon

Selain digunakan untuk mengambil gambar kenangan untuk dibawa pulang, ianya juga sering digunakan untuk menghubungi orang yang tersayang untuk memaklumkan pergerakan masuk dan keluar ekspidisi.

Pada masa sama, saya akan mendisiplinkan untuk bateri telefon barada pada tenaga tertinggi sebelum memulakan ekspidisi. Ini bagi memanjangkan jangka hayatnya ketika dalam ekspidisi, kalau-kalau berlaku sebarang bentuk kecemasan.

Dan bagi mereka yang sudah sedikit maju, boleh lah memuat turun aplikasi GPS yang sedia ada dalam pasaran. Sekurangnya, yang tidak berbayar. Ada diantara aplikasi-aplikasi tersebut akan sedia ada jalur denai pendakian didalamnya. Ini bukan sahaja memudahkan anggaran pergerakan, ianya juga memudahkan diri/kumpulan bilamana berlaku kecemasan melalui perkongsian Lat/Long atau GR (jika ada).

07. JAM TANGAN

Gambar 07 : Jam tangan

Fungsi utamanya sudahlah pasti untuk mengetahui masa. Melalui jam, kita sudah boleh mendisiplinkan diri dengan ‘cut-off time’ dan bagi mereka yang berpengalaman pula, boleh menganggar jarak perjalanan yang bakal ditempuhi ketika sedang melakukan ekspidisi.

Jika berkemampuan, disarankan juga rakan pendaki mengambil jam tangan yang mempunyai bacaan barometer, altimeter, suhu dan GPS tracker. Untuk saya, saya hanya membeli jam yang mempunyai bacaan altimeter, suhu dan barometer. Kerana fungsi yang lain itu akan menggunakan peralatan lain. Altimeter secara ringkasnya untuk bacaan ketinggian semasa. Barometer secara ringkasnya untuk bacaan tekanan udara yang bagus untuk ramalan cuaca setempat.

Secara kebetulan apabila tali jam rosak, saya telah mengupah rakan pendaki ( Azwa. 011 2806 3086 ) untuk membuat tali jam daripada paracord 5 meter dengan klip yang mengandungi wisel serta fire starter. Ini menambahkan elemen kesiagaan peralatan dikala timbulnya situasi kecemasan

08. PISAU

Gambar 08: Pisau

Kegunaan pisau ketika berekspidisi adalah sangat meluas. Ianya boleh digunakan untuk memotong makanan seperti epal, memotong tali (jika perlu), mencabut duri paut tajam bertam di badan, dan juga sebagai penambah semangat!

penambah semangat? Hah. Bunyinya sedikit pelik. Ianya saya gunakan apabila terasa keselamatan bakal digugat seperti dengusan binatang atau sebagainya. Walaupun secara teknikalnya, tidaklah mampu saya berlawan dengan binatang-binatang yang ada didalam hutan termasuklah tupai, kerana saya seorang yang lemah-lembut. Namun, sekurangnya ada benda tajam di tangan, ianya boleh menguatkan semangat diri.

Pada sudut kelansungan hidup juga, pisau memainkan peranan penting. Waimah tanpa sebarang bentuk fahaman atau kursus kelansungan hidup di hutan, manusia biasanya akan datang idea-idea asas untuk menggunakan pisau dalam melanjutkan kelansungan hidup mereka. Namun bagi mereka yang sudah mengikuti kursus kelansungan hidup, sudah pasti akan dapat menguruskan diri dengan lebih cepat, cermat dan cekap!

Secara peribadi, saya memilih jenama Morakniv model Companion sebagai pisau peribadi saya. Ianya saya sentiasa sematkan didada kiri supaya mudah saya hunus memandangkan tangan dominan saya adalah tangan kanan. Dengan bilah dari besi ‘stainless steel’ pisau ini sudahpun saya bawa dan gunakan untuk tahun yang ke-4.

09. KOMPAS

Gambar 09 : Base plate compass

Kompas membantu dengan cepat dan mudah dalam menentukan arah/bering. Kegunaan utamanya bagi saya adalah untuk menentukan arah bering kiblat. Bagi arah umum semenanjung Malaysia, ianya terletak pada 292 dan 293. Kegunaan keduanya pula adalah untuk mencari bering arah apabila saya menjalankan eksplorasi ke lokasi/puncak yang tidak mempunyai log, yang lebih dikenali sebagai projek ‘rintis’.

Kegunaan tambahan dari sudut kecemasan, iaitu bering keselamatan. Ini saya lakukan sebelum saya memasuki mana-mana ekspidisi, dengan menentukan apakah bering keluar secara kecemasan secara umum. Melalui anggaran perjalanan ekspidisi, saya akan meletakkan satu bering untuk dihafal sebelum menjalankan ekspidisi tersebut. Andaikata saya sesat dan perlu melarikan diri daripada ancaman yang mengekori, saya akan menggunakan bering yang dihafal untuk sampai ke garisan anggaran lokasi selamat.

10. BOTOL AIR

Gambar 10: Botol air

Air adalah penting untuk kelansungan hidup manusia. Kita boleh hidup sedikit lama waimah tanpa makanan, namun tidak berapa lama jika tanpa air. Tambahan, untuk menjamin pengalaman ekspidisi dan kualiti kesihatan sentiasa dalam keadaan baik, meminum air jernih adalah sangat baik khususnya apabila sedang bersukan/rekreasi. Ini untuk memastikan fizikal sentiasa mendapat keperluan cecair semasanya.

Untuk majoriti ekspidisi yang memerlukan air, saya akan membawa 2 botol air berkapasiti 700ml satu. Secara keseluruhan, saya akan membawa 1.5 liter air jernih. Ianya dianggarkan cukup untuk ekspidisi panjang seharian penuh pancaroba yang mempunyai sumber air tambahan di dalam hutan.

Tujuan saya menggunakan 2 botol adalah kerana untuk memisahkan botol utama dan botol sokongan. Sebaik boleh pada setiap masa, saya akan memastikan bahawa akan membawa 1 botol mempunyai air, walau sedikit. Ini adalah untuk bekalan wudhu (bagi orang muslim) dan beristinjak. Namun, bilmana perlu, saya akan menghabiskan kesemuanya.

11. PERSONAL GROUND SHEET

Gambar 11 : Personal ground sheet

Kegunaan personal ground sheet adalah sebagai alas untuk tempat duduk, baring, dan meletakkan barang (penyusunan, susunan). Kegunaan lain juga sebagai persediaan untuk dijadikan sebagai ‘pintu’ kepada khemah ‘terbuka’ atau seumpama yang ada. Dan, kegunaannya yang paling kerap adalah sebagai sejadah ketika berekspidisi.

Secara peribadi, saya menggunakan alas keluaran Naturehike kerana penggunaan bahan yang kalis air dan ringan. Pada masa yang sama, ianya juga saya kirakan sebagai kecil dan kompak bilamana ukuran apabila dilipat adalah 9 x 7 x 2 cm manakala apabila dibentangkan penuh, adalah 120 x 70 cm.

12. TALI + CARABINER

Gambar 12: Tali dan Carabiner

Kegunaan tali adalah sangat pelbagai dalam aktiviti pendakian. Daripada untuk membuat tulang kepada set perkhemahan terbuka, membuat ampaian sehinggalah kepada alat bantuan kecemasan seperti merentas sungai. Carabiner juga mempunyai kegunaan yang pelbagai selain menyangkut barang.

Untuk itu, saya menggunakan tali yang sedikit tebal dan kuat. Sebelum ini, ianya adalah tali prusik 6mm. tapi set tu diserap kepada kumpulan aset lain. Manakala untuk carabiner, sebaiknya menggunakan yang boleh digunakan untuk climbing kerana lebih terjamin kualiti dan jangka hayat penggunaan.

13. PONCHO

Gambar 13 : Poncho

Selain digunakan untuk hujan, poncho jenis tahan lama ini boleh juga digunakan sebagai pengganti wind-breaker, pintu flysheet, alas tempat duduk, sejadah dan telekung sementara. Secara peribadi, saya tidak menggunakan poncho dengan kerap. Beg di atas adalah poncho peribadi saya yang sudahpun bersama kesetiap ekspidisi saya semenjak lebih 4 tahun lepas. Namun, poncho didalamnya masih bewarna baru.

Mungkin disebabkan berbadan besar, saya tiada masalah untuk berjalan didalam keadaan malam dan hujan. Kerana bilamana mengenakan poncho untuk berjalan di gunung beraltitud rendah, saya akan rasa panas berwap di dalam apabila memakai poncho

14. MEDICAL KIT

Gambar 14 : Beg medical kit

Bagi memastikan diri bersedia menghadap kemalangan yang sering berlaku seperti luka, terseliuh dan kesejukan, sebaiknya setiap peserta ekspidisi menyediakan beg First Aid Kit masing-masing. Ini bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan mereka terhadap penganjur atau rakan pendaki lain bilamana ditimpa kemalangan.

Untuk penulisan ini, saya tidak akan menerangkan dengan lebih lanjut apa yang terkandung didalam beg. Ianya akan dikongsikan di penulisan lain.

15. SUPPORT KIT

Gambar 15 : Support Kit

Beg Support Kit saya biasanya diletakkan pada ruang yang lebih mudah capai berbanding beg Medical-Kit. Ini adalah berdasarkan kepengunaannya ketika ekspidisi jauh lebih kerap berbanding perubatan.

Didalamnya terkandung peralatan sokongan untuk ekspidisi pendakian yang terdiri daripada cable tight, klip, gam gajah, solid fuel, paracord, sawyer (penapis air), tisu, kayu penawar hitam dan beg ziplock.

Yang sering saya gunakan adalah tisu untuk ketandas. Dan yang lainnya, adalah sebagai persediaan untuk menghadapi situasi-situasi tambahan seperti untuk pembuatan unggun, tapak kasut tercabut, dan sesi penurasan air.

16. BEG MAKANAN

Gambar 16 : Beg Makanan

Tidak termasuk bekalan makanan tengahari, beg makanan ini adalah bertujuan untuk mengisi kudap-kudapan seperti gula-gula, keropok dan biskut. Selain sebagai persediaan untuk menambah tenaga, tujuan kudapan seperti ini juga adalah sebagai penyeri mengisi masa lapang, khususnya apabila sedang berehat beramai-ramai.

Buat masa ini, saya tidak berkongsi kandungan didalamnya kerana keseluruhan kandungan beg ini merupakan makanan ‘rampasan perang’. Ianya adalah istilah kepada saki baki kudapan yang tidak diperlukan di ekspidisi lain, dan saya akan simpan untuk keperluan rakan pendaki lain di masa akan datang. Secara peribadi, saya tidaklah bergantung banyak kepada kudap-kudapan. Ianya lebih disediakan untuk sesi perkenalan untuk merapatkan ukhwah dengan bertanya “awak nak biskut?”.

Untuk penambah baikan, disarankan rakan pendaki untuk membawa kudapan manis, masin dan masam. Ini membantu menambah sedikit tenaga dan semangat bilamana badan sudah mula rasa keletihan.

17. RADIO

Gambar 17 : Radio Amatur

Dengan tujuan utama untuk komunikasi di antara ahli ekspidisi, radio amatur adalah berbeza dengan ‘walkie-talkie’. Perbezaan ketara utama adalah kemampuan jarak memancarkan gelombang komunikasi dimana set radio amatur mampu memancarkan komunikasi pada jarak yang lebih jauh. Dan perbezaan ketara kedua adalah kemampuan untuk memilih frekuensi dimana set radio amatur mampu memilih cabang frekuensi berbanding set walkie-talkie yang mempunyai pilihan terhad.

Selain daripada komunikasi dalaman antara rakan eskpidisi untuk pemantauan keadaan, lokasi dan maklumat semasa ahli ekspidisi sendiri atau lain, dengan mengetahui ‘channel’ yang digunakan, ianya juga boleh digunakan sebagai medium komunikasi antara mangsa dengan pasukan keselamatan didalam operasi mencari dan menyelamat.

Dinasihatkan dengan tegas bahawa pendaki yang menggunakan radio, untuk berdisiplin. Pertama, sila gunakan ‘channel’ yang boleh digunakan oleh orang awam (433.000 – sekiranya anda bukanlah pemegang lesen yang disahkan oleh SKMM. Dan yang kedua, didalam penggunaan komunikasi radio amatur ketika ekspidisi, diunjurkan supaya hanya berkomunikasi perkara penting dan bukan tambahan untuk gurauan dan karaoke. Ini adalah untuk menjimatkan penggunaan tenaga baterinya yang disediakan untuk kecemasan kelak (jika ada) dan sebagai penghormatan kepada pengguna lain (jika kebetulan menggunakan channel yang sama)

18. GPS

Gambar 18 : GPS

Secara umumnya, ramai sudah pendaki termasuk saya telah memuat turun aplikasi GPS ke dalam telefon. Aplikasi-aplikasi ini boleh digunakan untuk memantau pergerakan sendiri, menganggarkan corak perjalanan yang bakal diambil dan juga sebagai ‘nota’ untuk masa hadapan.

Namun pada masa sama, saya mempunyai disiplin untuk ‘tidak bergantung semuanya pada suatu benda’. Ini kerana kebarangkalian nipis ancaman lain terhadap telefon seperti dimasuki air, rosak atau hilang. Ini juga mungkin kerana saya lebih yakin dalam penggunaan alat GPS dan telahpun selesa didalam menggunakan GPS untuk penentuan arah. Tambahan, ianya (kemungkinan) lebih tepat berbanding penggunaan GPS telefon. Dan pada setiap masa, boleh menentukan berapa satelit yang sedang digunakan untuk menentukan lokasi semasa.

Walaubagaimanapun, tidaklah dianjurkan kepada rakan pendaki untuk memiliki GPS ini terlebih dahulu sebelum kelengkapan penting yang lain. dan, penggunaan GPS tidak lah semudah yang disangka. Namun, tidak juga terlalu rumit.

19. POWER BANK

Gambar 19 : Power Bank

Secara utama, ianya digunakan untuk mengecas kelengkapan eletronik khususnya telefon. Walaupun pada kebiasaan untuk daypack, pendaki akan meninggalkan ‘power bank’ di bawah / kenderaan, ianya juga dianjurkan untuk membawanya bersama. Ini adalah untuk menghadapi kemungkinan kecemasan yang memaksa ahli ekspidisi untuk bermalam di dalam hutna seperti ke s kecederaan, kemalangan, dan mungkin kematian.

20. KABEL

Gambar 20 : Kabel mengecas

Bergantung kepada jenis alatan eletronik yang ingin dicas, adalah perlu untuk pendaki membawa bersama kabel yang berkaitan. Ini adalah untuk mengelakkan kerugian usaha membawa telefon dan ‘powerbank’ namun tidak membawa kabel untuk cas.

21. PARANG

Gambar 21 : Parang 12 inci

Kegunaan utama parang adalah sebagai alat bantuan untuk membersihkan halangan jika ada seperti pokok tumbang atau semak samun. Pada masa sama, ianya juga boleh dijadikan sebagai pengorek tanah untuk dijadikan sebagai ‘lubang tandas’. Dan, ianya juga membantu dalam penyediaan diri sebagai ‘penambah semangat’. Ya, sama seperti pisau!

Terdapat pelbagai jenis alatan tajam berukuran panjang seperti parang di dalam pasaran. Ianya berbeza dari segi seni, teknik pembuatan sehingga kepada bahan buatan. Secara realistiknya, tiada binaan yang ‘terbaik di dunia’. Namun, apa yang ada adalah ‘binaan paling sesuai’ dengan penggunaan penggunanya.

Secara peribadi, saya mempunyai 2 set berlainan saiz dari parang berjenama Parang Tantari ini. Parang yang berukuran 10 inci akan saya bawa untuk ekspidisi ke lokasi yang mempunyai frekuensi penyelenggaraan tinggi seperti Gunung Yong Belar. Manakala yang 12 inci akan dibawa untuk ke ekspidisi yang mempunyai frekuensi penyelenggaraan jalur pendakian yang rendah, seperti Gunung yang jarang diterokai.

Walaubagaimanapun, jangan tersilap mengapa akan ada rakan pendaki yang tidak hent-henti membeli parang sehinggakan didalam koleksi dia ada melebihi 30 unit parang. Ini biasanya berlaku apabila individu tersebut mula ke arah menjadi pengguna dan peminat/pengumpul parang. Pilihan menjadi rambang bilamana kesedaran terhadap bahan buatan dan tukang yang boleh jadi pelbagai. Sudah pasti, lagi terperinci seni dan pengetahuan yang ‘diserapkan’ kedalam sesebuah parang itu, harganya akan menjadi mahal. Untuk sebuah set parang lasak berseni dan berkualiti tinggi, RM 1, 500 masih belum mencukupi. Namun biasanya, untuk set semahal ini akan dijadikan kepada koleksi simpanan, berbanding penggunaan berfrekuensi tinggi.

Setelah beberapa belas (mungkin puluh. Takut nak kira) tempahan/pembelian parang, dengan pembelian 2 saiz ini dari Parang Tantari, maka berhentilah saya daripada hobi menempah/membeli parang. Ini kerana secara peribadi, ianya beresesuaian dan bertepatan dengan citarasa, kemahuan dan kemampuan kewangan saya.

22. PAYUNG

Gambar 22 : Payung

Kegunaan utama payung adalah untuk dijadikan tempat berteduh mudah alih daripada pancaran matahari. Situasi ini khususnya adalah ketika sedang berjalan di ‘jalan balak’ yang tidak mempunyai kanopi hutan, pada tengahari yang mataharinya tidak dibalik awan. Penggunaan payung akan melambatkan proses dehidrasi, keletihan mental dan pada masa sama, memanjangkan kemampuan fizikal.

Pada masa sama, payung juga boleh digunakan untuk dijadikan teduh daripada hujan, khususnya ketika sedang menanti ahli ekspidisi yang dibelakang untuk sampai. Keadaan basah adalah normal, namun keadaan basah yang airnya mengalir boleh mengakibatkan fizikal berusaha lebih untuk menghangatkan badan. Jika proses ini berlanjutan, seorang atlit yang badannya kuat pun mampu menghidapai hipotermia kerana kehilangan tenaga tanpa disedari.

Kegunaan seterusnya adalah sebagai penghadang angin. Ini adalah sesuai untuk memastikan badan kita tidak disapu angin yang pada masa sama, akan menyebabkan fizikal berusaha lebih untuk memanaskan badan. Proses memanaskan badan tanpa sedar ini akan memakan tenaga, yang jika tidak dikawal-selia, boleh membawa kepada masalah hipotermia.

Kegunaan tersembunyi adalah sebagai penghalang penglihatan. Bilamana anda perlu untuk ke tandas namun lokasi keliling yang terhad disebabkan bentuk muka bumi (hutan yang terlalu padat, atau sedang berada di jari gunung yang tidak lebar) dan anda sedang kesuntukan masa untuk ke tandas, payung boleh digunakan untuk dijadikan sebagai penghadang antara anda dengan rakan pendaki. Sekurang-kurangnya, boleh menjaga etika dan adab walau dalam kecemasan. Juga, boleh dijadikan sebagai teduhan untuk badan rakan pendaki yang tercedera teruk/maut. (sebagai penjagaan kehormatan jika berlaku kemalangan).

Secara peribadi, saya memilih payung yang sedikit kecil supaya ringan kerana frekuensi penggunaan payung yang minimal. Pada sudut bahan binaan, saya akan memilih payung yang mempunyai kemampuan menangkis UV walau sedikit. Supaya, tidak terasa terlalu panas bilamana memakainya sebagai tempat teduh pada waktu tengahari.

23. STOVE

Gambar 23 : Set ‘personal stove’

Set dapur peribadi dibawa ketika ekspidisi ‘daypack’ digunakan untuk memanaskan samada makanan, minuman, suasana ataupun bahan bakar. Pemanasan hal-hal ini adalah bertujuan samada untuk menambahkan kembali tenaga, membuka selera, dan juga mengisi masa lapang. Tambahan dari antara tujuan tadi juga, boleh dijadikan sebagai ‘pembuka bicara’ untuk sesi merapatkan ukhwah antara rakan pendaki yang masih belum mengenali antara satu sama lain.

Terdapat pelbagai jenis set dapur di pasaran yang mengandungi pelbagai bentuk, saiz dan berat. Secara peribadi, saya berminat dengan pengunaan Jenama Kovea, model Maximum. Walaupun mempunyai ukuran yang tidak berapa kecil dan ringan berbanding ‘stove petak’ yang biasa digunakan, set ini mampu menghasilkan kualiti haba api yang tinggi lantas mempercepatkan proses memasak/memanas. Pada masa sama, ianya juga menggunakan tong gas yang mempunyai harga ekonomik.

24. GAS

Gambar 24 : Tin gas

Sudah pasti, kegunaan tin gas adalah untuk menjadi bahan bakar kepada pembakaran. Namun, pemilihan utama kenapa saya mengambil tin jenis ini berbanding yang bulat adalah kerana kosnya yang lebih ekonomik. Walaupun saiznya lebih besar daripada saiz gas biasa, ianya tidak mengganggu banyak kerana ini boleh diubah dari saiz beg.

Pemilihan jenama Fenix adalah yang pertama, kerana kualiti gasnya yang sedikit berbeza daripada gas tin yang lebih murah. Dengan ‘Hi Perfomance Gas Mix’, tin gas yang lebih digunakan di dalam industri pembuatan ini akan tahan lebih lama dan mampu befungsi dengan lebih baik di altitud sedikit tinggi berbanding gas yang lebih murah.

Pada sudut lain juga, tin gas jenama Finex ini mempunyai ciri keselamatan CRV (Explosion Proof – Countersink Release Vent). Ini dibuktikan bilamana tekanan gas didalam tin menjadi lebih tinggi dari sepatutnya, ianya akan mengembang lantas mengembungkan tin. Daripada tin itu Meletus dan merebakkan gasnya secara rawak dengan terlalu pantas, CRV memastikan gas akan dilepaskan dengan terkawal daripada 12 titik di garisan biru (tiada pada gambar ini). Lantas, gas akan dilepaskan dengan lebih terkawal. Walaupun api menyambar adalah bahaya, ini adalah jauh lebih baik daripada berlaku letupan disebabkan pembebasan gas yang banyak secara pantas dan tiba-tiba. Secara peribadi, saya sendiri telah melalui pengalaman menjadi saksi yang menyaksikan system CRV ini berfungsi.

25. SET MEMASAK ASAS

Gambar 25 : Set memasak asas

Disebabkan ianya untuk ekspidisi yang ringkas, set memasak asas ini sekadar bertujuan untuk memasak sedikit air dan barang kali, sebungkus dua makanan ringkas seperti mee segera. Pemilihan set bulat seperti ini adalah supaya ianya boleh diadaptasikan kepada sebuah lagi set memasak asas saya yang lebih bertemakan ruang yang efisen.

Semasa di dalam beg, set memasak ini akan diisi dengan paket-paket berkaitan dan set stove saya. Dan semasa memasak, ianya memadai untuk memasak satu set mee segera dan air pada sukatan secawan biasa. Ini sudah memadai untuk sebuah rehat yang sangat berkualiti yang disertakan bersama nikmat yang pasti menggembirakan perut.

26. CAWAN

Gambar 26 : Cawan boleh lipat

Pada masa sama, cawan juga akan dibawa bersama dengan set memasak. Tujuan membawa cawan adalah kalau-kalau saya akan memasak air yang sedikit banyak dan tidak memasak mee segera. Tujuan memasak air yang lebih banyak berbanding untuk keperluan sendiri? Sudah pasti untuk menjamu rakan-rakan pendaki lain yang tidak terlalu ramai. Tanpa mengira samada mereka adalah rakan ekspidisi saya, ataupun rakan pendaki dari kumpulan lain.

27. SERBUK AIR SEGERA

Gambar 27 : Serbuk air 3 in 1

Ini hanyalah sebagai contoh. Bergantung kepada mood semasa sebelum mendaki samada mahu minum kopi, teh, air coklat ataupun air lain-lain.

28. SET MAKANAN (BERAT) KECEMASAN

Gambar 28 : Kembara Adventure Meal (Self Heating Pack)

Bersyukur keatas kemajuan teknologi dan adaptasinya kepada penggunaan awam, untuk ekspidisi yang saya klasifikasikan sebagai ‘hard-core’, akan saya bawa bersama MRE (Meals Ready to Eat). Dan untuk kini, pilihan utama saya adalah set makanan Kembara Adventure Meal yang bermenu (pilihan utama saya) Daging Rendang atau/dan Nasi Lemak.

Set makanan seperti ini adalah amat mudah dikendalikan. Ini kerana, untuk mendapatkan makanan yang suam/panas, pengguna hanya perlu meletakkan air kedalam pek agar ianya bercampur dengan ‘Heating Element’ yang disediakan. Tunggu selama 7-10 minit dan makanan panas sudah tersedia. Namun, jikalau rasa lapar terlalu memuncak dan malas untuk membuang masa, makanan MRE seperti ini sudahpun diklasifikasikan sebagai sudah dimasak terlebih dahulu. Boleh juga memakannya terus tanpa perlu dimasak/dipanaskan. Namun, kurang la sikit nikmatnya

29. SET MAKANAN (SERDAHANA) KECEMASAN

Gambar 29 : MRE bubur lambuk dan bubur nasi ayam

Selain MRE pada nombor Gambar 28, untuk ekspidisi yang bertambah tahap ‘hard core’, saya juga akan membawa set makanan MRE tambahan yang berbentuk bubur. Untuk itu, saya memilih Brahim Bubur Lambuk dan Brahim Bubur Nasi Ayam. Khuatir kalau terus ingin menhadap mee segera sentiasa pada sesi makan ketika ekspidisi, boleh jadi kembang tekak juga jadinya. Biar badan pewai, janji hati dan perut terus bergembira.

PENAFIAN

Penulisan ini tidak mencerminkan pegangan mahupun pendirian Core Republic secara keseluruhan. ianya hanyalah sebagai perkongsian peribadi penulis kepada pembaca. Persediaan ini akan berubah dari masa ke masa dengan berlandaskan falsafah “hope for the best, plan for the worst”. Ini adalah kerana pembelajaran baru daripada rakan pendaki sedia ada yang lebih berilmu dan berpengalaman.

Dan secara disiplinnya, sebaiknya kita sentiasa memandang tinggi terhadap mana-mana lokasi pendakian, waimah ianya semudah Bukit Broga. Ini dizahirkan melalui tanpa mengira latar belakang lokasi, pendaki terus membawa barang yang lengkap demi keselamatan diri, ahli ekspidisi dan orang lain. lantas, boleh mempengaruhi era pendakian gunung untuk memperoleh lebih ramai bilangan ‘pendaki sedar’. Dan secara kemampunanya, ingin dinasihatkan pendaki untuk membeli yang mana dipandang WAJIB sahaja dahulu. Bergerak perlahan-lahan didalam pembelian barang kelengkapan dan tidak perlu terburu-buru. Teruskan usaha bertanya, menimba ilmu dan mempraktikkan ilmu. Dan jika berkelapangan, berkongsilah ilmu tersebut.

Subscribe

Be the first to get the latest updates, right to your inbox.

Leave Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

We'd love to hear from you

Have any questions? Here's how you can reach us.