Hantu di Pergunungan

Article / Featured / Story

Admin
July 23, 2019

Share

Hantu di Pergunungan

Author: Shafeeq Badek, CORE Republic

Hantu adalah perkara lazim yang sering dikaitkan dengan keadaan seram, dan hutan. Ada orang yang sememangnya mencari, ada orang yang memang menempah nasib, dan ada pula yang sekadar rezeki dalam tidak sengaja. Berikut adalah senarai (tidak menurut populariti) berkenaan cerita 8 jenis hantu di alam pergunungan melalui pengalaman pergaulan penulis.

  1. Pontianak / Langsuir
Gambar adalah sekadar ilustrasi. Diambil dari carian Google

Wujudnya geng-geng terbang ini adalah sekilas berbaju putih, berambut panjang dan dari jantina wanita. Disebabkan tidak sempat untuk memastikan yang mana satu mana, pecahan mereka ni ada yang kata dari nama Pontianak, kuntilanak, langsuir (siap badan) dan langsuir (takda badan). Kalau bab taring pula, saya tak pasti. Ada yang kata ada, ada yang kata tak perasan. Jadi, tu kita tolak tepi kepada yang tahu, tahu lah.

Kehadiran susuk/gangguan seperti ini biasanya datang dalam waktu senja-malam samada dalam denai jalur pendakian ataupun di sekeliling tapak perkhemahan. Pada kebiasaannya, mereka dalam bentuk berterbangan. Dan kadangkala, (mungkin disebabkan pewai), mereka akan bergayut di dahan pokok.

Dari petua yang penulis pernah dengar, ada yang mengatakan bahawa jarak lokasi mereka dari kita boleh ditentukan daripada bunyinya. Jikalau bunyi hilai tawanya kuat, menandakan mereka ini jauh. Dan jikalau bunyi hilau mereka ini lemah atau sayup-sayup, bermakna mereka berada berdekatan dengan kita. Ada juga petua mengatakan kalau berani, boleh pacakkan paku di tengkuk mereka. Ini akan menyebabkan mereka boleh bertukar kepada paras bentuk wanita yang cantik. Namun, tiada pula yang mengatakan lepas dia jadi perempuan tu, apa pula jadinya. Dikahwini ke, disuruh jadi hamba abdi ke, disuruh jadi porter ke. Melalui perkongsian rakan pendaki penulis, kelibat hantu pernah dikesan di jalur pendakian Gunung Ledang, pada tahun 2006 dahulu. Ini terjadi apabila salah seorang pendaki dari kumpulan pendaki yang sedang terkinja-kinja ingin daypack ke puncak gunung, telah menyuluh sekeliling untuk melihat-lihat sementara sedang menunggu orang hadapan bergerak. Di antara suluhan tersebut, beliau terlihat kelibat kak long kawasan ni sedang menyembunyikan separuh badan di balik batang pokok dan menampakkan yang separuh lagi. Mimik wajah sepintas ingatan beliau adalah berbaju labuh putih bersih, senyuman psikotik, mata merah dan rambut panjang menggerbang. Lupa pula saya nak tanya, rambut tu dalam bentuk rebonding, ikal mayang atau perm. Tapi sebab ingin menyesuaikan imej ngeri penceritaan, saya syak rambut hantu ni adalah dari jenis yang tegak ala ikal mayang. Kalau kusut masai, pasti akan tersangkut dahan pokok apabila mereka beterbangan. Dan kalau terlalu lurus, dah macam iklan syampu la pula. Tak kena pula kalau kita anggap rambut dia ada gaya pompadour. Macam hipster terlebih dan pada masa itu, budaya hipster masih belum tiba.

Mengapa wujudnya dia hanya pada tidak waktu siang? Mungkin kerana mereka juga mempunyai kerja tetap lain seperti menjual kasut online ataupun membuka gerai makan. Tapi tu lah, kasihan juga. Apa je kerja boleh dibuat pada waktu siang dalam hutan banat tu. Kalaulah betul mereka ni meniaga makanan, mana ada pendaki atau pembalak nak membeli. kerana kebiasaannya pengguna denai ni sudah bersiap sedia dengan bekalan makanan masing-masing. Ini mungkin antara sebab utama kenapa Pontianak gemar mengganggu pendaki gunung. Berpunca dari pendaki gunung yang tidak support usaha perniagaan setempat yang dijalankan Pontianak.

2. Pocong

Gambar adalah sekadar ilustrasi. Diambil dari carian Google

Terkenal di nusantara ini, pocong diperkatakan berbentuk dalam gaya orang yang sudah dibungkus/dikafankan. Bahasa mudahnya, dari jauh dia ni berbentuk seperti gula-gula. Malahan, gelaran kias mereka adalah ‘gula-gula’. Gaya biasa adalah susuk mereka dibaluti kain putih dan mempunyai ikatan pada kepala, leher dan kaki. Kain putih yang menyelubungi tubuh jelmaan ini adakalanya diperkatakan dalam keadaan bersih putih, dan ada kalanya kotor bertanah atau berdarah. Raut muka pula kebiasaannya hitam/mereput dan ada yang mengatakan tanpa wajah. Mungkin untuk melambangkan bahawa mereka adalah mayat manusia yang mereput.

Teknik gangguan mereka adalah samada dalam bentuk statik atau bergerak. Jikalaukan statik, seolah terbaring atau menyandar di satu port yang macam sesuai untuk dilihat, seolah separa menyorok. Dan bilamana bergerak, disebabkan kaki kaki yang terikat, kebiasaannya dilaporkan mereka ini dalam keadaan terloncat-loncat. Bilamana pergerakan yang dikejar bertambah laju, mereka akan bergolek-golek. Dan bila pergerakan yang ingin ditonjolkan sepintas lalu, mereka seolah-olah boleh teleport sekelip mata di sini dan sekelip lagi di sana. Ada juga sesi yang mengatakan mereka ni boleh terbang. Tapi penulis syak, bukan mereka yang terbang. Mungkin yang terbang tu adalah dari bangsa Pontianak dan seumpama. Bila terbang, disebabkan oleh halangan angin, sudah pasti kain/baju mereka bergerak ke belakang. Takkanlah bentuk baju kekal statik kehulu-hilir. Dah macam kena celup lilin pula kerasnya.

Melalui pengalaman yang diceritakan oleh rakan pendaki, kebanyakan kelibat pocong mula dilihat ketika sedang perjalanan turun pada waktu malam. Dan biasanya, yang melihat ini adalah mereka yang dalam keadaan sudah mula/terlalu penat. Ada satu cerita ni apabila rakan penulis terlihat kehadiran pocong di kiri denai jalur pendakian, beliau sudah mula takut dan panik. Disebabkan itu, beliau mula melangkah laju menuruni gunung dan memintas rakan-rakan gunung. Pada kelajuan sederhana ini, dilihat pocong juga konvoi turun gunung dengan meloncat-loncat sambil mengelak pokok. Dan apabila beliau menambah hadlaju diselekoh akhir menuju ke tempat regroup, dilihat pocong mula bergolek-golek menuruni lembah. Dah macam race pun ada. Dan bila tiba di kawasan berkumpul semula, kelibat pocong tu hilang terus. Bagaimana hantu tersebut bergolek sambil mengelak pokok-pokok yang ada, juga merunsingkan kepala fizik. Tapi, tak apa lah. Tak nak tahu lebih.

Melalui beberapa cerita kelibat pocong di jalur pendakian ni, penulis mengesyaki bahawa pocong tidak wujud dalam hutan. Sebab, mana nak datang kubur dalam hutan tu. Tapi apa yang penulis boleh kaitkan adalah, pendaki-pendaki yang nampak kelibat pocong tersebut adalah sebenarnya dalam keadaan pewai dan lapar yang teramat sangat. Disebabkan keadaan mereka yang sudah mula berhalusinasi/membayangkan imej gula-gula. Maka, bayangan itu divisualkan oleh otak mereka. Namun, disebabkan kekurangan gula dalam otak untuk menghubungkan sel-sel otak bahagian kreatif, akal tidak mampu untuk mewujudkan warna dan jenama sampul gula-gula tersebut, dan membiarkan ianya putih sahaja. Sampul gula-gula warna putih sahaja, jadi apa? Jadi Pocong laa.

3. Hantu Jepun

Gambar adalah sekadar ilustrasi. Diambil dari carian Google

Hantu Jepun ini adalah merujuk kepada susuk Lembaga yang sering dikaitkan dengan bentuk tentera berkawad, berpakaian tentera, senapang lama, berpedang, berbasikal dan paling normal, tiada kepala. Mereka ni wujud diperkatakan adalah dari tinggalan roh-roh tentera yang tumpas di medan perang. Dan mereka ni wujud cuma dari selepas zaman penjajahan Jepun.

Mereka ini tidak menghasilkan bunyi-bunyi pelik suara memanggil. Bunyi normal adalah bunyi orang berkawad dan kadangkala bunyi tembakan. Dan biasa, mereka akan muncul pada waktu malam yang ada cahaya malap samada dari sinaran bulan mahupun cahaya dari tapak perkhemahan. Jarang sekali mereka ni mengganggu dan sergah. Biasanya sekadar menjengah.

Melalui penceritaan rakan pendaki kepada penulis, kelibat mereka ada di Kem Gurkha, Gunung Yong Belar. Tapak perkemahan ini biasa akan dilewati oleh mereka yang nak buat Yong Belar – 3 boundaries, V1/V2 Full route di Banjaran Titiwangsa tu. Melalui penceritaan beliau (pada ketika itu, zaman baru nak belajar mendaki gunung. Makanya, fitness dan kelengkapan memang diistilahkan sebagai ‘ke laut’), dia yang dalam keadaan sangat keletihan mengambil keputusan untuk terus tidur sejurus tiba di Kem Gurkha pada waktu senja. Pada malam hari tersebut, beliau telah terjaga dari tidur disebab bunyi orang berjalan di luar flysheet. Dalam mamai/terjaganya, dia menjengah untuk melihat sumber bunyi dan terlihat ada susuk tubuh siap berkasut tinggi, berpakaian tentera, sedang mundar-mandir seolah berkawad/berjaga. Disebabkan pewai siang hari yang masih belum hilang, beliau sambung je tidur. Ketakutan sekadar menyelebungi beliau disiang hari usai beliau bangun dari tidur disiangnya kerana susuk-susuk tubuh semalamnya itu adalah tanpa kepala. (alahai, dah terlambat dah nak ngeri sebegitu!).

Pada penulis, rasanya ada bercampur juga edisi cerita sebegini. Pertama, biasanya tentera Jepun yang terkenal dalam memancung kepala orang, dan bukan diri sendiri atau rakan-rakan mereka pada skala besar. Dan rasanya, yang kena pancung adalah tentera belah komunis, bukannya jepun (kalau saya tak silap, Jepun benci Komunis dan Komunis juga benci Jepun). Dan kemungkinan besar, sepatutnya hantu tu dipanggil hantu komunis, bukannya hantu jepun. Tapi tulah, nak tanya lebih kat hantu tu dia ni tentera Jepun atau Komunis, mereka bukan ada kepala pun nak bercakap. Dan penulis pun bukan power sangat sampai nak pergi kat uniform mereka dan selak samada ada insigna Jepun atau kosong (komunis). Jadi, penulis biarkan ajelah istilah hantu Jepun tu pada namanya dengan menganggap tentera komunis tidak beruniform.

4. Perkampungan Bunian

Gambar adalah sekadar ilustrasi. Diambil dari carian Google

Untuk kawasan mempunyai ‘perkampungan’, kadang kala yang terlihat adalah susuk badan serba sempurna dengan muka yang kemas dan bersih sentiasa. Ada dalam bentuk susuk lelaki, ada dalam bentuk susuk perempuan. Ada yang berbentuk bukan binatang/manusia, dan adalakanya sekadar berbunyi melaung-laung. Dari sudut tingkah laku, ada yang berperangai sopan tidak menganggu, dan ada yang perangai nakal sedikit. Dan melalui penceritaan-penceritaan, jika ‘diganggu’ berlebihan, mereka akan menganggu ke tahap yang lebih tinggi.

Bagi mereka yang berpengalaman tidak diganggu secara terus, kelibat diri ataupun dalam beberapa kes, terlihat kawasan kampung di dalam hutan banat. Ada cerita dari rakan pendaki penulis yang mengatakan, ada line-up yang leka berbual seoarang diri apabila tiba dari Puncak Gunung Chamah di Kem Tongkat Ali. Bila semua rakan ekspidisi mahu memulakan pergerakan pulang ke Kem Pakma, beliau minta 5 minit lagi sebab nak membuka beg, mengambil dan memberi gula-gula kepada ‘adik-adik’. Dengan tenang, ketua malim yang melayankan membalas“jalan je dulu. Esok nanti kita lalu sini balik, nanti lah beri gula-gula. Nak cepat ni, semua dah nak balik ni”. Dan si mangsa pun akur, kerana beliau ingat sememangnya akan lalu di sini semula. Setibanya di Kem Y selepas menurunai Gunung Ulu Sepat, sedikit wawancara ringkas diadakan secara santai. Diperkatakan oleh si mangsa bahawa beliau dok bermain dengan adik-adik dari suku kaum asli di Kem Tongkat Ali, dan pada masa sama mereka diperhati-senyum oleh ibu dan bapa adik-adik tersebut dari pintu rumah mereka. Si mangsa menyatakan rasa terkilan beliau sebab ketua malim telah membohongi beliau kerana mengatakan akan melalui semula ke sana. Rasanya bagi mereka yang sudah pergi ke Gunung Chamah pasti tahu kan? Di Kem Tongkat Ali mana ada kampung hoi!

Kalau bagi penduduk yang nakal pula, dari masa ke masa mereka akan muncul samada dalam bentuk kanak-kanak di celah semak atau gigi air, atau dalam  bentuk brader-brader sado yang mundar-mandir di luar khemah di tapak perkhemahan. Namun, yang paling popular dan penulis tak boleh nak terima adalah cerita dari rakan pendaki yang terkena di Air Terjun Buaya Sangkut. Si nakal menggaru pendaki yang sedang tidur di dalam hammock pada waktu malam! Kasihan juga kepada rakan pendaki tersebut. Nak keluar dari hamok, gusar pula jika si nakal minta high-5. Jadi, tabah je lah tahan diri dari menjerit dalam hamok tu. Ada juga cerita tambahan sedikit dari rakan pendaki yang terkena di Kem Tudung Periuk (Gunung Yong Belar). Sedang lena tidur di hamok, pada mulanya sekadar gangguan menggaru. Disebabkan sudah lali dengan hal ni, dia buat-buat tak tahu sahaja. Namun, si nakal bertindak dengan selangkah kehadapan dengan membuka hamok dan menjengah ke dalam hamok. Dengan bijaknya, beliau terus menutup mata dan tekan kelopak mata supaya tak bertentangan mata. Lagipun, mana nak lari masa terkena sebegitu? Melalui suara, penulis lupa apa istilah tepat. Kalau tidak silap, ianya digelar ‘pelaung’. Ini terjadi kepada rakan penulis yang sedang rehat bersama pasangan sweeper beliau. Setelah tiba di Kem Hari dari Kem Belumut, kumpulan pendaki yang sudah regroup telah mula berjalan bergerak keluar. Kumpulan sweeper mengambil keputusan untuk menyalakan sebatang rokok sebelum memulakan perjalanan. Usai habis rokok dimatikan dan punting disimpan, suara ketua malim kedengaran dari celah hutan memanggil nama 2 sweeper tersebut. Yang kelakarnya, suara itu datang dari arah yang bertentangan dengan jalur pendakian. Jika ianya ke kanan, suara yang datang adalah dari arah kiri. Namun, rakan pendaki tetap steady dan berani kerana kejadian adalah pada 12 tengahari. Siang-siang, boleh lah berani. Kalau malam, mungkin sudah tarikh flysheet dan melabuhkan kepala. Tidur berdua dalam satu sleeping bag.

5. Nenek Kebayan

Gambar adalah sekadar ilustrasi. Diambil dari carian Google. Tiada pula kaitannya dengan nenek kebayan. Sekadar sebab penulis suka cerita Hantu Kak Limah

“nenek nenek si bongkok tiga, siang mengantuk malam berjaga, mencari cucu di mana ada, nenekku kahwin dengan nak raja”. Lagu epik pengenalan ringkas masyarakat kini dengan nenek kebayan. Disemadikan didalam cerita Musang Berjanggut (1959).

Karektor fizikal nenek kebayan kebiasaannya adalah dalam berkeadaan bongkok dan biasanya bertongkat. Pakaianya seringkali dikaitkan dengan kain-kain bercorak lama dan usang. Penampakan susuk sebegini seringkali tidak berbunyi atau berbau. dan juga diperkatakan, habitat mereka adalah di hutan dan pergunungan. Jadi, memang layaklah pendaki gunung terserempak.

Kehadiran nenek kebayan kebiasaannya tidak mengganggu pelihatnya. Dan kebiasaan, kehadiran mereka dikaitkan dengan ‘memberi amaran’ terhadap sesuatu. Namun, tiada saksi lengkap yang boleh menceritakan bentuk kehadiran mereka ini. Penampakan mereka juga lebih kepada berbentuk ‘menjengah’ dan memerhati.

Melalui cerita rakan pendaki pada baru-baru ini, kelibat Nenek Kebayan telah rakan ekspidisi beliau saksikan melintas di trek diantara puncak Gunung Yong Belar menghala ke Kem Kasut. disebabkan gabungan faktor siang dan line-up tersebut jenis pendaki baru, apa yang disimpan dalam kepala saksi adalah “orang asli mencari hasil hutan”. Namun, setelah  tiba di luar dan ditanya kepada malim yang terlibat “semalam saya nampak orang asli. Korang ada nampak? Memang diorang cari hasil hutan tinggi sebegini ya?” telah menimbulkan rasa terkejut dikalangan ahli ekspidisi. soalan lanjut telah diberikan dan jawapan yang diterima telah memberikan ciri nenek kebayan. Seorang perempuan tua, berpakaian orang lama, bertongkat, bongkok 3 dan membawa bakul seolah terisi dedaun dan kekayu hasil hutan. Teori yang dilihat itu adalah ‘bukan manusia’ dikuatkan lagi kerana jelmaan tersebut melintas dari kanan ke kiri trek, menandakan ianya bergerak dalam keadaan ‘off-track’. Bukan calang manusia boleh merintis hutan tanpa parang. Dan jarang pendaki tak tegur rakan pendaki bila melihat. Dan jarang la pendaki/manusia pengguna denai jalur pendakian nak pakai gaya klasik sebegitu di ketinggian dan suhu sebegitu. Sejuk, tidak selesa dan berlumpur.

Atau mungkin sebenarnya, masih ramai otai-otai pengguna denai dari suku kaum orang asli yang masih mampu dan biasa mendaki gunung untuk mencari hutan. Cuma dikarutkan oleh mata orang bandar yang ‘tak percaya’ dengan kebolehan mereka. Diikutkan logic penulis, orang asli memang mempunyai kebolehan yang jauh berbeza dengan orang bandar kerana pernah menyaksikan usaha untuk ‘lepak minum pagi seorang lelaki tua dari suku kaum orang asli yang berjalan kaki dari Kampung Lelar ke Kampung Agek. Pendaki gunung bukan main lagi setup equipment dan jalan berteman bagai. Waimah wujud fauna seperti gajah dan harimau (kalau tak silap), dia rilek je.

6. Bayang-bayang menumpang

Gambar adalah kenanga penulis bersama adik dan adik ipar ketika perjalanan balik dari Kolam 7, Air Terjun Berkelah (Maran)

Bayang-bayang yang menumpang gambar adalah suasana paling normal dan tenang yang sering dilalui oleh rakan pendaki gunung. Kebiasaannya, ianya tidak akan disedari secara terus oleh pengambil gambar sehinggalah mereka mempunyai masa yang lebih untuk membelek foto yang sudah diambil, khususnya apabila sudah pulang.

Karektor bayang-bayang ini biasanya adalah sepertimana namanya sendiri, iaitu bayang-bayang. Ianya hanya wujud dalam gambar dan kadangkala dalam gambaran susuk yang tidak jelas. Kehadiran mereka adakalanya seolah dalam keadaan tidak sengaja, dan kadangkala seolah-olah memang ingin menumpang sekaki dalam bergambar dengan berada betul-betul di dalam line up.

Gambar di atas adalah dari pengalaman peribadi penulis dan keluarga. Pada ketika itu, kami sedang menuruni daripada Kolam 7 Air terjun Berkelah (Maran, Pahang) menghala ke Kolam bawah. Ketika adik mengambil gambar suaminya dari belakang, penulis sempat berseloroh meminta mereka cepat sedikit. Bila terbelek gambar, “eh, apa benda kat tebing tu?”. Kebetulan 2 minggu selepas itu, penulis kembali ke lokasi. Dan tiada sebarang bentuk gangguan balak/kayu sepertimana yang difikirkan.

7. Jelmaan rakan pendaki

Gambar adalah sekadar ilustrasi. Diambil dari koleksi peribadi penulis di Blue Valley Dam pada penutup program mengutip sampah di Gunung Yong Belar

Untuk mengelakkan berlaku kekurangan rakan pendaki tanpa disedari (tertinggal atau sesat), adalah dibiasakan untuk regroup dan membuat kiraan. Ini berlaku apabila kapasiti ahli ekspidisi adalah bukan sahaja ramai, malah terdiri dari rakan-rakan pendaki yang baru berkenalan.

Jelamaan rakan pendaki akan muncul dimana susuk jelmaan adalah mirip seperti seorang pendaki gunung yang siap mempunyai beg nya sendiri. Dan pada kebiasaannya, jelmaan ini tidak akan bersuara. Interaksi yang ada hanyalah senyum sahaja. Kadangkala, jelmaan ini bukan sahaja lepak berkumpul bersama, malah berjalan bersama.  Gangguan dari jelmaan ini tidak melebihi dari itu. Kekerapan untuk gangguan sebegini adalah sangat jarang. Namun, apabila berlaku, ianya akan memeningkan kepala penganjur dan malim dalam bagaimana untuk mengusir ‘rakan pendaki’ tersebut tanpa menimbulkan panik dikalangan rakan ekspidisi lain.

Dalam satu cerita yang disampaikan kepada penulis, berlaku kejadian kecelaruan oleh satu rakan penganjur. Nasib mereka baik apabila pendakian Gunung Yong Belar mereka pada satu hujung minggu selama 2 hari 1 malam tidak bertembung dengan mana-mana kumpulan pendaki lain, dan mereka memulakan pendakian dari Blue Valley Dam. Melalui senarai nama dan perkiraan sebelum menaiki 4wd, bilangan ahli ekspidisi adalah seramai 42 orang. Namun, setelah tiba di Blue Valley Dam, ketika sedang sesi taklimat dan pemanasan badan, bilangan pendaki bertambah kepada 48 orang. dan angka ini berubah di tapak perkhemahan dengan 46 orang. dan sekembalinya mereka di Blue Valley Dam, angka kembali ke 48 orang. perkiraan ini hanya diketahui oleh kru-kru ekspidisi yang merahsiakan bilangan yang mereka kira secara berkali-kali. Tetapi syukur, setelah menaiki 4wd pulang, di sesi taklimat akhir, bilangan kembali kepada 42 orang.

Penulis syak, pendaki tambahan tersebut hanya ingin berjalan-jalan bersama dan barangkali berbual hal-hal bukan hutan dengan pendaki yang hadir. Mungkin mereka juga ingin tahu apa yang ada di hutan batu. Namun, mereka tak jadi nak ikut balik bila dengar hal-hal hutan batu yang banyak menyakitkan kepala dan hati. Ditambah dengan kesesakan lalu lintas. Eh

8. Pendaki Ajaib

Gambar adalah sekadar ilustrasi. Diambil dari koleksi peribadi penulis. Penulis adalah yang paling kanan, paling gemok, paling pewai

Pendaki ajaib adalah manusia yang mempunyai kad pengenalan atau passport. Ya, mereka juga bernafas, makan, penat, pewai dan bekerja seperti semuanya. Macamana nak kata mereka ni ajaib pula? Jangan risau, anda pun boleh menjadi pendaki ajaib!

Mula-mula, pendaki ajaib ini biasanya akan melihat lokasi-lokasi yang mereka hendak pergi dan mengambil info sebanyak mungkin akan lokasi tersebut seperti penggunaan 4wd, tentative dan gambar-gambar lokasi penting seperti tapak perkhemahan dan simpang-simpang. Dalam masa yang sama, mereka akan memantau iklan-iklan penganjur yang ada di dalam online.

Apabila ternampak iklan dari sumber dan penganjur yang boleh dipercayai, para pendaki ajaib akan mengumpulkan seberapa ramai ahli dari kenalan-kenalan mereka. Paling minima, 4 orang. dan paling maksima pernah penulis dengar adalah 15 orang. mereka akan berkongsi tenaga dan wang untuk penyediaan ration, bayaran 4wd dan barangkali, aplikasi permit dari Jabatan Perhutanan.

Setibanya pada hari eskpidisi, kumpulan pendaki ajaib akan berkenalan dengan kumpulan penganjur tersebut di tapak perjumpaan, daripada tentative yang telah dikongsikan. Memperkenalkan diri sebagai dari kumpulan lain, mereka akan menyatakan hasrat untuk konvoi atau jalan bersama dengan kumpulan penganjuran yang mereka tiru tersebut.

Dengan ini, ahli ekspidisi menjadi semakin ramai dan mereka pada masa sama mempunyai bantuan penunjuk arah secara PERCUMA. Dan ada beberapa kes lain, pendaki ajaib akan menagih kasih bantuan masakan/ration/khemah dari penganjur tersebut. Dan nak tambahkan cerita lagi, pendaki ajaib ini juga akan menjadi punca kepada cabaran pendakian apabila mereka tersesat, menjadi kepala kumpulan sesat, sakit dan ingin berpatah balik.

Nak mengenalpasti kumpulan Pendaki Ajaib dengan kumpulan yang kebetulan bersama ni, senang je. Boleh nampak mereka menumpang peranan malim/guide dari kumpulan lain. Dan ketua mereka adalah tidak mahir dengan selok-belok hutan yang mereka lewati.

Ya lah kan, apa penganjur boleh buat? Takkan nak halang? Jalur pendakian bukan dia yang punya. Takkan tak nak bantu? Itu adalah salah satu tanggung jawab pendaki. Takkan nak marah? Kedekut itu salah. Takkan nak tegur? Besar pun dah panjang. Sebab, Pendaki Ajaib adalah golongan yang bijak dalam mengurangkan kos peribadi dan barangkali, antara yang bijak dalam menyusahkan orang.

TIPS ELAK MASALAH HANTU

Lepas kita share hantu apa yang ada dalam hutan tu (satu sampai tujuh), pasti ada yang baru nak menceburkan diri dalam kancah mendaki gunung di Malaysia ni rasa goyang tak memasal,kan? Jadi di sini, penulis nak share sedikit tips yang penulis buat supaya elak berjumpa dengan ‘hantu’ ketika mendaki gunung ni. Nak pergi lebih mendalam tentang takrif hantu dan sifat dia, mungkin eloknya dirujuk kepada mereka-mereka yang lebih layak. Dikhuatiri khilaf dalam penulisan penulis akan merosakkan pemahaman dan maksud sebenar yang boleh membawa ke jalan yang salah.

1.            Perbetulkan niat

Niat ini kita perbetulkan bukan sahaja ketika kita berada di pintu rimba dan ingin memasuki kawasan hutan. Sebaiknya, seringkali mengingatkan diri akan tujuan sebenar menyertai ekspidisi. Jangan lah pada mula kau sebenarnya ingin menikmati keindahan alam, tetapi bila mula ekspidisi kau nampak ada awek dah ilicin, kau terus plan nak pikat dia menggunakan kudrat badang. Bukan sebab mahluk-mahluk dalam tu boleh tahu niat kita, tetapi sebab niat kita akan mempengaruhi gerak geri kita di dalam ekspidisi. Lantas, boleh membawa kepada situasi menunjuk, mencabar dan memanggil pula.

2.            Elak pewai melampau

Majoriti kes-kes gangguan mahluk halus dan halusinasi adalah berpunca daripada kepenatan yang melampau. Antara penyumbang kepada kepenatan melampau ni adalah rehat yang tidak cukup, makanan yang tidak cukup, serta aktiviti yang tidak bersesuaian dengan kemampuan fizikal. Apabila badan sudah melepasi paras daya tahan kepenatannya, ini mampu menyebabkan akal kita berhalusinasi dengan memberikan maklumat yang tidak betul dari realiti. Contohnya, disebabkan pencahayaan, maka ada sinaran matahari di dalam gua. Disebabkan badan yang terlampau penat, mulalah kepala merakam bahawa dalam gua tu ada perkampungan bunian yang melambai-lambai sambil di tangan gadis bunia nada sepinggan nasi goreng kampung dan sup cendawan ala thai.

3.            Hormati pengguna lain

Selain pada kita, alam ini juga digunakan oleh pelbagai mahluk lain. Baik dari yang nampak, mahupun tidak nampak. Dengan ini, kita sehendaknya menghormati semua pihak sebaik mungkin. Tidak lah pula penulis menganjurkan bila nak kencing tu, ucap “tok, nenek! Cucu tumpang kencing”. Kalau nak membuang tu, baca je lah doa dan uruskanlah operasi membuang najis dalam kesantunan yang ada. Selain menghormati dengan cara mendaki gunung dengan sopan, kita juga sebaiknya tidak melampaui batas seperti membuka muzik kuat berlebihan, bergelak tawa mengilai mengalahkan Pontianak, bercakap besar menggoncang dunia. Mungkin kalau bukan mahluk halus, entah-entah ular dan harimau yang mendoakan kita di ganggu sebab kita ganggu kawasan dia secara berlebihan dan tanpa hemah.

4.            Jangan buat sampah

Ada antara pengalaman penulis, seorang pendaki gunung telah dirasuk. Dan didalam situasi rasukan, entiti yang menggantikan kesedaran pendaki tersebut menyatakan kemarahan dia dan kaumnya bilamana manusia datang membuat sampah di kawasan mereka. Manusia tak suka sampah. Binatang tak hidup dengan sampah. Yang mahluk halus pun tak suka sampah. Tiada siapa sukakan sampah kecuali syaitan. Anda buang sampah dalam hutan? Anda suka bagi kawan baik anda suka? Sila buang sampah di tempat sendiri.

Subscribe

Be the first to get the latest updates, right to your inbox.

Leave Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

We'd love to hear from you

Have any questions? Here's how you can reach us.