apa itu “IP” rating?

GAMBAR 1 : contoh tulisan IP rating, di produk headlamp jenama Klarus

Bagi pendaki gunung yang masih baru, pasti sering terdengar atau terjumpa dengan terma “IP rating”. Barangkali perkataan “IP rating” ini diutarakan atau diberitahu oleh rakan pendaki atau penjual barangan. Kebiasaanya, IP rating akan banyak dikaitkan dengan alatan eletronik khususnya headlamp.

APAKAH ITU “IP RATING”?

GAMBAR 2 : maksud “IP”

IP adalah singkatan kepada “Ingress Protection”. Ianya adalah sebuah International Standard yang berdaftar EM 60529 ((British BS EN 60529:1992, European IEC 60509:1989) dan digunakan untuk mengklasifikasikan tahap keberkesanan kedapan bagi sesebuah produk daripada dimasuki/ditembus oleh benda asing (seperti habuk, debu) dan kelembapan/cecair.

APA MAKSUD NOMBOR?

GAMBAR 3 : tulisan hitam ; Slot PERTAMA ( tengah, bawah) dan Slot KEDUA (kanan, atas)

GAMBAR 3 : Slot PERTAMA (tengah) dan Slot KEDUA (kanan)

Anda perasan, kan? Ada 2 slot untuk nombor dalam IP rating tu? Selepas huruf IP, sepertimana gambar 3, ada 2 slot yang akan diletakkan nombor. Slot PERTAMA (huruf X) adalah untuk menunjukkan ukuran ketahanan kedap terhadap bendasing/pepejal. Manakala slot KEDUA (nombor 6) adalah untuk menunjukkan ukuran ketahanan kedap terhadap cecair.

APA KLASIFIKASI NOMBOR DI DALAM SLOT?

Slot PERTAMA:

NO MAKSUD
X Tidak di periksa
0 Tiada kemampuan perlindungan
1 Perlindungan daripada objek/pepejal yang mempunyai diameter meLebihi 50 mm
2 Perlindungan daripada objek/pepejal yang mempunyai diameter melebihi 12.5 mm
3 Perlindungan daripada objek/pepejal yang mempunyai diameter melebihi 2.5 mm
4 Perlindungan daripada objek/pepejal yang mempunyai diameter melebihi 1 mm
5 Perlindungan daripada kuantiti debu yang boleh mengganggu kegunaan/operasi produk namun bukan perlindungan dari debu secara sepenuhnya. Dan, perlindungan menyeluruh daripada objek/pepejal
6 Perlindungan lengkap/penuh daripada sebarang objek/pepejal dan debu

Slot KEDUA:

NO MAKSUD
X Tidak di periksa
0 Tiada kemampuan perlindungan
1 Perlindungan daripada titisan air yang menegak (dari atas)
2 Perlindungan daripada titisan air yang menegak apabila ‘produk’ dimiringkan sehingga ke 15 darjah dari kedudukan asal/normal ‘produk’.
3 Perlindungan daripada semburan air secara langsung, dai mana-mana sudut ‘produk’ sehingga 60 darjah
4 Perlindungan dari percikan air dari mana-mana arah
5 Perlindungan daripada tembakan jet air (muncung 6.3mm) daripada mana-mana sudut ‘produk’.
6 Perlindungan daripada tembakan jet air yang kuat (muncung 12.5mm) daripada mana-mana sudut ‘produk’.
7 Perlindungan daripada rendaman air pada kedalaman antara 15cm sehingga 1 meter, untuk maksimum 30 minit
8 Perlindungan daripada rendaman air pada kedalaman 1 meter, untuk jangka masa yang lebih lama
9 Perlindungan daripada tembakan jet air bertekanan tinggi dan daripada pembersihan wap

IPX RATING?

“IPX RATING” kalau nak diikutkan, bukanlah sebuah rating system yang rasmi. Namun, ianya sering diletakkan/digunakan oleh pengeluar sebagai penanda bahawa ‘slot’ tersebut tidak dikaji. Kemungkinan adalah dengan andaian ianya tidak relevan dengan produk (contoh : headlamp dengan IPX6 yang dibeli oleh pendaki, dikirakan tidak memerlukan kajian kalis debu).

Walaubagaimanapun, untuk memudahkan cara, sebaiknya kita menganggap bahawa rating X yang diberikan adalah bermakna 0. Sememangnya ia tidak memberikan fakta sebenar terhadap produk tersebut, namun itu adalah tanggapan yang ‘lebih selamat’.

IPX6? Ini bermaksud, pengeluar produk tersebut tidak menilai tahap kemampuan kedapan produk daripada objek/debu. Namun, ianya mampu untuk dilindungi daripada tembakan jet air yang kuat (muncung 12.5mm) daripada mana-mana sudut

IP3X? ini bermaksud, pengeluar produk tersebut tidak menilai tahap kemampuan kedapan produk daripada cecair. Namun, ianya mampu untuk dilindungi daripada objek/pepejal yang mempunyai diameter melebihi 2.5 mm.

PENULIS : Badek Gonzalez

PENAFIAN : penulisan di atas adalah melalui pemahaman penulis secara peribadi daripada sumber-sumber bacaan secara dalaim talian dan juga hasil bualan bersama rakan-rakan pendaki lain. Kemudian, ianya dirapikan supaya tersusun dan mudah difahami oleh pembaca. Penulisan ini tidak mencerminkan pegangan atah pemahaman Core Republic secara menyeluruh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *