Mt Murud, Sarawak (27 April – 2 May 2018)

Ada apa dengan Gunung Murud?

kalau jiwa kebal, jemput baca. post yang sedikit lebar.

baru-baru ini, aku terjebak dengan ekspidisi Gunung Murud anjuran Core Adventure di bawah kelolaan Eddy bilamana aku membatalkan niat untuk ke Gunung Rinjani. ditambah lagi dengan hasutan si Bagak, pejam mata, kita pergi.

perihal trip, Eddy siapkan. perihal tiket, si Bagak yang setelkan. aku betul-betul terjun bodoh untuk ekspidisi kali ini.

Gunung Murud diperkatakan termasuk dalam golongan Big 5 Malaysia. oleh kerana aku merupakan seorang pendaki yang tak mengambil peduli sangat akan penggolongan, aku kurang fasih berkenaan latarbelakang Gunung Murud. ditambah lagi dengan teknik bidan terjun, lagilah aku tak tahu mana. bahkan, semasa ekspidisi baru aku dapat bezakan yang kita ni ke Gunung Murud, bukan Gunung Mulu.

ekspidisi ini bila digulungkan, merupakan sebuah ekspidisi santai. manakan tidak, kami sempat menontot wayang, makan banyak kali, sentiasa ada tea break dan mungkin disebabkan bilangan pendaki yang kecil, kami sentiasa awal dari tentatif. waimah berjalan santai (jangan dicabar ajak merokok, laju beg dilabuhkan dan puntung dicucuh).

ekspidisi eksklusif kali ini amat berbeza.

satu, silaturahim antara rakan pendaki lain macam bonding. sesi perbincangan dan luahan terbuka yang dilakukan amat benar membina. sehinggakan ada sesi ala-ala parlimen (pengaruh pilihanraya umum agaknya) bilamana Bagak menjadi speaker dewan, aku menjadi YB Batang Berjuntai, Hisham menjadi YB Janda Baik, Anip menjadi YB Bukit Gambir, Eddy menjadi YB Ampang, dan Iqbal menjadi YB Segamat. main hembus je memasing. haha

kedua, ilmu bumi yang ditimpa. untuk ekspidisi kali ini, kami ditemani Hisham, YB Janda Baik. beliau banyak berkongsi tajuk dan perihal bumi Gunung Murud ini dan dibantu oleh Bagak. entahlah ilmu yang diberi itu 100% difahami atau tidak oleh telinga marhaen lain. tetapi, yang pasti memasing pasti dapat 1%. sudah jauh lebih baik dari membawang.

ketiga,kemuncak segala pengalaman. LAYANAN MESRA PENDUDUK BA’KELALAN. tidak sikit aku jatuh cinta pada Gunung Murud dan view nya. tidak terkenang mana pengalaman mendaki bersama. begitu menyentap pemahaman tersirat disebalik layanan penduduk. baik yang berjumpa di Ba’kelalan mahupun yang menjadi guide untuk ekspidisi.

didalam rumah di Church Camp, kami setiap malam riuh dengan gelak tawa,usil mengusik dan perbincangan. guide kami, Pak Janggut diperkatakab ada sakit kepala. bilamana dia keluar dari sleeping bag dia, tidak dia kata “minta senyap sedikit”. tetapi, beliau membalas “saya suka gembira-gembira ni”. dan paling kerap, ditanya “air panas cukup? nak bancuh kopi?”. tenang bersahaja perilaku manusia ini. kagum aku melihat.

di homestay Ba’kekalan, kami sering bertegur sapa dengan pengusaha nya. dua orang wanita yang sentiasa memasak untuk kami. entah apa yang dibual mereka semasa bekerja,aku kurang faham. mungkin bahasa suku mereka. tapi bilamana aku lalu mengambil air di dapur, pantas bertegur “ambil air bang? kalau tiada air,beritahu ya. kalau tak cukup panas pun beritahu”. tanpa putus! gila apa layanan sebaik ini?!

di perkampungan, ada masa kami main jalan kaki sahaja di sekeliling kampung. bukan level sight seeing pun. sekadar melonggarkan lutut dari kekejamgan tidur dan makan. bilamana orang kampung tidak kira tua,muda,lelaki ataupun perempuan bertentangan mata, pantad mereka mengangkat tangan dan senyum. bukan sahaja kepada aku, bajet-bajet tourist ini, tetapi kepada sesama mereka sendiri. mesra tanpa mengira masa.

di sekeliling pula, pun begitu ceritanya. dari jauh aku lihat kelibat anggota Rela dan Polis berbual sesama sendiri. muka mereka tampak bengis. selaku orang luar, sudah pasti aku terasa sedikit goyah. namun bila berdekatan, anggota-anggota beruniform itu pantas menghulurkan tangan dengan senyuman seraya berkata “apa khabar?”. gugup aku membalas persalaman dengan senyuman kelat “khabar baik bang”.

di dalam boarding room airpoot nya, kelibatan seorang lelaki berbaju merah juga bakal menaiki kapal terbang pulang bersama kami. sepertimana sifat di airport lain, kita teruskan bergaul sesama kita. tetapi kali ini, brader baju merah berkaca mata memulakan bicara “kamu ke sini mendaki atau tengok burung?”. wah. aku lupa nama dia. dia seorang guru yang sudah duduk di Ba’kelalan selama 6 tahun. berasal dari Sarawak dan pernah menuntut di kotaraya Kuala Lumpur.

nilai estatika yang aku baru dapat selami.

hidup mereka berteknologi terpencil. tetapi jiwa mereka sentiasa lebih tinggi dari gaya hidup. sopan santun yang aku pelajari tetapi terhanyut dek melayan arus metropolitan.

sombong dan riak, mungkin bagi mereka adalah permainan manusia kota raya. dimana mereka hidup, tanpa kau, aku susah. tanpa aku, kau susah. sebuah realisasi yang lebih jitu dan nyata dalam segala lapis ekonomi kehidupan.

tiada internet? apa ada masalah. kebergantungan kita kepada internet sudah nyata melebihi keperluan dan ditambahlemak dengan kemahuan. benar bilamana internet untuk bekerja. tetapi barai bila digunakan untuk lari dari nyata. sibuk dengan rakan jauh antara benua, tetapi mengabaikan rakan yang ada di depan mata.

senyum itu sedekah! tak guna diherotkan muka dan kerlingan mata membawa masalah dunia. hidup tidak pernah akan mudah. tetapi, bergembira dengan cabaran dan rahmat yang ada, jauh lebih pentingnya. sebuah nilai yang majoriti aku, kau dan dia dah lama lupa. kerana sibuk yang entah apa.

in sha allah, jikakan ada rezeki, Core Adventure akan kembali ke sana (masa terdekat,bulan 7 nanti). membawa rakan-rakan pendaki yang bakal merasa puncak, ekspidisi dan sentuhan jiwa masyarakat setempat. pergi sendiri dan rasa sendiri.

Kemuncaknya bukan di puncak.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *