SAMBARAN API DI AIR TERJUN LANSIR

Article / Story

Admin
October 14, 2019

Share

SAMBARAN API DI AIR TERJUN LANSIR

Penceritaan ini dibahagikan kepada TIGA fasa. fasa pertama adalah FASA CERITA. ini bertujuan untuk menggambarkan pengalaman penulis berdasarkan dari memori dan mata penulis. dan fasa kedua adalah FASA POST-MORTEM (BERKUMPULAN) yang mengambil sedikit rekod daripada perbincangan pasca situasi. dan fasa ketiga adalah FASA POST-MORTEM (PERSENDIRIAN) yang menceritakan pendapat penulis secara peribadi terhadap situasi.

FASA CERITA

Selesai tiba di Kem Lansir, tanpa banyak kata, aku pergi uruskan beg dan peralatan aku. Kebetulan, dari Kem Y, aku tak dapat ration. Maka, beg aku hanya dipenuhkan dengan sampah. Menjadi penyebab kepada aku antara yang akhir sampai di tapak perkhemahan. Kerana tiada tanggung jawab utama dihadapan.

Selesai mengemas barang, aku terus bergerak ke bahagian dapur. Ada juga dilawa rakan pendaki lain untuk pergi main air bersama mereka. Namun, jam di tangan masih dalam lingkungan 1400. Matahari masih memekikkan bahangnya. Sebagai pendaki yang berdarah eskimo, aku mengambil keputusan untuk rilek-rilek dahulu di bawah fly dapur, bersedia membantu crew-crew yang sedang bekerja. Atau bersedia menghabiskan meggi dan kopi yang dibuat. eh

Semasa Abang Naza Bersama Kak Julya sedang mula menanak nasi, sedikit kesukaran mula menerpa apabila yang PERTAMA, permukaan tapak perkhemahan yang baru itu masih belum cukup enap dan masih mempunyai sedikit kecondongan dalam 15 darjah (ukuran ni aku hentam je, sebab aku tidak pula bawa protaktor).

Dalam mencuba memasak nasi dengan menggunakan 2 stove (satu dari sudut tinggi, satu dari sudut rendah), ujian KEDUA didatangkan lagi dengan cabaran angin yang datang. Sekejap hadirnya daripada hadapan. Sekejap hadirnya daripada belakang. Sekejap dari kanan. Sekejap dari kanan. Umum tahu, kalau tidak dijaga betul api memasak nasi ni, bakal ke kubur lah beras nan jelatah itu. Dan dengan ujian angin seperti ini, amat mudah untuk menggagalkan proses memasak nasi yang gebu-gebas.

Untuk menyelesaikan masalah angin yang boleh dikatakan berpusar-pusar ini, kami menggunakan 2 unit penghadang angin. Ianya diletakkan secara 360 darjah agar api menyala sopan. Dan selepas diintai, keadaan api semakin cantik menyala selepas tidak diganggu oleh pusaran angin yang mendatang. Proses memasak pun diteruskan seperti biasa dengan menumis rempah ratus berkaitan.

Di tepi sungai, dapat aku lihat Aniq sedang berendam kaki cicah-cicah gitu. Di bawah fly, aku sedang berkhayal entah kemana dengna Surya di bibir. Azura (crew) pula rasaku sedang kemas-kemas barang hasil potong-memotong itu-ini. Di kiri belakang aku, berhadapan dengan stove itu tadi adalah Kak Julya, sedang menggaul-gaul ramuan yang telah dimasukkan Abang Naza. Sempat aku perasan, sudah tiba masa untuk Abang Naza memasukkan beras untuk dicampur kepada ramuan yang telah ditumis tadi, daripada arah stove bawah.

Sedang elok Kak Julya menarik-narik beras dari periuk Abang Naza, PSST DHUPP! Sebegitulah memori aku menggambarkan bunyi pelik yang aku dapat tangkap. Bila aku toleh ke kiri, sebuah bebola api sebesar lebih kurang tinggi 1 meter padu sedang marak menyala, menelan periuk 3kg tersebut.
Dengan pantas, Kak Julya yang betul-betul berhadapan dengan set memasak itu tadi terus bergolek/berlari ke belakang. Kurang pasti bagaimana dia berlari. Imaginasi aku mengatakan dia me-ninja kebelakang. Manakala sempat aku toleh kepada abang Naza yang terus berpaling ke kanannya, meletakkan periuk berbaki beras sedikit (dalam 2 genggam) lantas lari daripada sambaran api. Aku dan Azura? Masih di situ. “jauh sikit! Jauh sikit!” nasihat tegas dalam nada lembut Abang Naza kepada aku yang asyik memerhati menganalisis situasi. Atau mungkin, sedang khayal.

“beg! Beg!” jerit Azura. Betul, kelihatan 2 biji beg sedikit sebanyak disambar secara manja tepi di tapak memasak tersebut. Pada masa ini, aku tidak pasti siapakan yang menarik beg itu menjauhi. Seolah ada 2 susuk badan yang sama-sama membawa 1 beg seorang. Kurang pasti kerana pada masa ni, aku sedang bergerak untuk bergolek melarikan diri!

Eh! Lari? aku mengambil keputusan untuk laju sikit bergolek ke kanan, menjauhi bebola api tersebut. \\Ianya masih kemas bergelombang. Pantas aku periksa rambut aku yang sedang aku biar lepas ketika itu, “ok! Takda yang terbakar”. Rambut aku ni panjang dan lebat. Tambahan pula, jambang yang tidak terurus seolah mossy di Gunung Irau. Kalau tersambar, pasti sekejap je aku dah jadi macam Ghost Rider. Tak kelakar kalau masuk CBL rambut panjang berjambang, keluar CBL rambut dah botak muka kilat jambu.

ini lah lokasi tapak perkhemahan tersebut. sambaran api meninggi sehingga membakar sedikit tali pengikat Fly Sheet. lokasinya adalah ditepi periuk tanpa stove tersebut. ianya sedikit menyenget ke bawah kiri

Sedang aku mengikat rambut dengan pantas, sudah kelihatan Aniq tiba dengan sebuah periuk yang penuh diisi air. Entah bilamana dia naik, ambil periuk, lari ke air, balik semula ke tapak memasak itu aku pun tak pasti. Laju betul mahluk ni! Hati aku seolah ingin menghalang perbuatan tersebut bilamana bisikan ilmu yang lepas, lain kelas kebakaran memerlukan lain jenis pemadaman. Kenalah pakai ABC gitu. Namun pengamatan singkat (beberapa saat) secara tambahan aku buat ketika Aniq sedang tercari-cari punca api untuk di simbah. Dengan pertimbangan yang mengatakan bahawa ‘ianya tidak akan merebak kerana tiada sumber bahan api cecair, potensi tindakbalas kimia membentuk bahan letupan, dan beberapa teori kebakaran berpunca dari pelepasan gas’ diolah pantas, aku sekadar mendiamkan diri sambil menunjuk (aku rasa, aku ada menunjuk) ke arah gas/stove yang bermasalah

Setelah 1 simbahan besar dan 2 simbahan kecil, api telah berjaya dimatikan. Tanpa menunggu lagi, aku terus ke arah set dapur tersebut dan menolaknya ke arah ruang luar lagi di kawasan terbuka. Dengan niat jika masih ada berlaku kebocoran gas, biarlah ianya ditempat terbuka jauh dari factor lain.

Setelah 2 kali menepis, baru aku sedar dibibir masih ada Surya yang sedang menyala. Pantas aku lempar rokok tersebut menjauhi objek berpotensi bahaya yang sedang dikendalikan. Ku toleh kembali, dan kujauhkan lagi sedikit menjauhi rakan-rakan yang sedang mengelilingi. Tanpa berfikir panjang, aku buka gas dari stove tersebut, meleraikan mereka. Ini untuk memastikan faktor kebocoran gas kerana kegagalan stove (jika ya) dapat diatasi.

“baik-baik Dek, panas!” ujar Abang Naza. Nasib aku baik, tabung gas dan stove tersebut tidak panas. Dalam terpinga selepas mendengar teguran Abang Naza, aku cuba rasa lagi sekali, “betul ke tak panas?”. Bodohnya di sini, stove yang aku pegang itu tadi adalah dibahagian tidak panas. Dan kali ini aku terpegang dibahagian yang panas. Nasib baik tak melecur. Chet! Panas gila oi.

Tanpa membuat penilaian situasi lanjut, aku terus bertanya kepada Kak Julya dan Abang Naza jikalau mereka ada terkena sebarang bentuk kecederaan. Dengan kebesaran bola api tersebut, jika ya terkena mana-mana anggota, pasti akan memudaratkan. Ditambah pula, Kak Julya adalah orang yang paling rapat dengan sumber kebakaran tersebut. Kak Julya dengan muka steady je menjawab “ok”. Gila tenang respond. Aku pada time ni, dok menahan adrenaline je. Ikutkan semangat yang tiba-tiba ada, mahu je aku buat Gunung Tahan daypack. Ewah! Namun, bila sekembalinya kepada Abang Naza, didapati beliau terkena sambaran yang melecurkan sedikit tapak tangan, dan sedikit terbakar bulu kening dan bulu rambutnya. Ini disebabkan oleh haba yang bergerak ke atas, dan Abang Naza merupakan orang yang berada ‘di atas’ kawasan bebola api, manakala Kak Julya adalah sama seperti aku dan Azura, di tepi api.

Lebih kurang 5 minit kami luangkan untuk tempoh bertenang dan cuba menganalisis lagi lanjutan kecederaan yang ada. Tangan kanan Abang Naza rupanya terkena sambaran lebih dari itu. Sudah mula membentuk kesan-kesan yang seolah bakal menunjukkan kesan melepuh. Namun, 5 minit kemudiannya lagi dihabiskan dengan tercangkung dan termenung melihat kerosakan yang berlaku kepada harta benda.

beg Azura terbakar teruk juga disebelah sisi kiri beg. Nasib dia baik, integrity beg masih tidak terganggu walaupun sudah menampakkan carrrymat didalam beg dan kepala beg sudah seolah melecur 15%. Barangkali tidak menyukarkan perjalanan pulang esoknya. Namun, untuk sebuah beg bewarna merecik dan terkena kesan seperti itu, memang kelihatan dari jauh. Dan juga, meratapi beg Karrimor Jaguar GR milik abang Naza yang terbakar sedikit. Hala hala hala. Barang baik MIUK, warna masih cantik merecik, terkena kebakaran. Hala hala halaa. Tapi rasanya, kerosakan boleh diubati dengan tenunan mereka-mereka yang bijaksana.

Selesai semua meredakan adrenalin yang ada, kami memulakan merawat luka-luka Abang Naza. Boleh kata besar duit lecuran sebesar 50 sen (dulu) campur 20 sen (dulu). Alhamdulillah, tidak separah dan besar. Ianya dicuci menggunakan air suling terlebih dahulu untuk mengeluarkan habuk-habuk yang ada, dan kemudian disapu dengan ubat anti-septic. Lepas cantik semuanya, kita tampal dulu pakai salotep/hansplat/apanamantah. Aku selalu lupa nama bendalah ni.

Selepas itu, Abang Naza dan Kak Julya terus menyambung tugas memasak macam takda benda berlaku, ditemani kami disekeliling beliau yang masih memotong bawang berkaitan dengan peristiwa. Sekali-sekala, dengar Abang Naza bergurau degan isterinya “ni rambut dah terbakar sikit ni, sayang lagi tak?!” dengan senyuman Kak Julya membalas garang “sayang laa!”. Memeriahkan kembali suasana panik yang timbul.

Usai mereka memasak, kami pun memulakan sesi membedal makanan. Kemudian? Tiruk sampai lobam laaa!! Ahahahahahahaha

sambaran api turut mengena kepala beg Azura
lecuran nyata disisi beg Jack Wolfskin Azura. yang bersilau itu adalah carry mat yang berlipat kemas di dalam beg.
lecuran yang berlaku terhadan beg Karrimor Jaguar GR Abang Naza.

FASA POST-MORTEM (BERKUMPULAN)

1. PUNCA KEJADIAN SAMBARAN API
Disebabkan kami mengepung periuk secara 360 darjah, haba yang dijana oleh 2 stove berkebarangkalian mencecah menghampiri 6000watt (kalau aku tak silap la). Disebabkan keadaan sedikit senget, dengan sifat haba yang bergerak/mengalir ke atas, haba terkumpul banyak tertumpu kepada tong gas yang berada di posisi tonggek yang lebih atas. Lantas, ini menyebabkan tekanan tong gas menjadi tinggi dan tidak stabil. Setelah beberapa masa, tekanan di dalam tong gas sudah tinggi sehingga tong gas berkenaan terpaksa melepaskannya dengan apa cara sekalipun, waimah meletup (mungkin?).

2. PENGGUNAAN GAS JENAMA FINEX
Gas jenama FINEX merupakan gas pilihan bagi pengurusan ekspidisi gogo MAG. Ianya telah dilengkapi dengan konsep CRV. Bukan kereta Honda tu. CRV ini bermaksud, Ianya tidak akan meletup walaupun mendapat bekalan haba luaran berlebihan yang menyebabkan tekanan didalam tong menjadi tinggi. Bilamana tekanan melampau terjadi dari dalam tong gas, ianya akan melepaskan gas-gas tersebut melalui titik-titik lemah yang telah dibuat disekeliling atas tin tersebut (lebih kurang ada 12 titik lemah, pada garisan bewarna biru). Pada hemat kami,melalui lubang-lubang ini, gas yang sudah bertekanan tinggi ini akan dilepaskan dengan ‘kelajuan’ yang lebih perlahan. Berbeza dengan kejadian LETUPAN yang mungkin berlaku apabila keseluruhan gas dilepaskan secara serentak, proses ini akan membentuk situasi sambaran sahaja. Lebih kurang dalam memori, bebola api tersebut bertahan dalam jangkamasa mendekati 30 saat juga rasanya. Tak sempat nak buat timing. Jika difikirkan pada ketika itu kami menggunakan gas lain, tidak tahulah apa pula yang akan terjadi. Kebarangkalian, tabung gas akan ‘koyak’ dan menghembuskan pembakaran keseluruhan isi dalam satu masa, yang boleh termasuk dalam klasifikasi letupan

kiri adalah tin gas yang baru. manakala yang kanan merupakan tin gas yang ‘mengembung’ tersebut. dibawa pulang khas daripada lokasi kejadian
tanda biru yang dinyatakan sebaga CRV tersebut. juga jelas kelihatan titik (takik?) disekeliling botol.

FASA POST MORTEM (PERIBADI)

1. PERLETAKKAN LOKASI BEG
Beg yang telah disusun itu tadi telah telahpun mengikut peraturan susunan beg bilamana tiba di tapak perkhemahan. Peraturan pertama yang beg tersebut telah tepati adalah tidak meletakkan ia dilaluan orang lalu-lalang. Kedua, yang telah ditepati adalah dengan meletakkan ianya jauh dari potensi ancaman semulajadi seperti kepala air, busut binatang dan lain-lain. Namun yang ketiga, yang seringkali saya pun terlepas pandang, adalah untuk meletakkan beg (yang tidak ada kaitan) jauh dari potensi ancaman hiliran manusia. Seperti berdekatan kawasan mengandungi api (unggun, dapur) mahupun kawasan penyimpanan ration kegemaran binatang (simpan telur, kang kena kokak dek tikus). Dan dalam kes ini, berjauhan dari kawasan dapur memasak. Dalam kes ini, kedudukan beg sudahpun menjauhi tapak memasak pertama. Namun, setelah tapak memasak dipindahkan, kami terlupa untuk mengalihkan beg-beg berkenaan.

2. KESIAGAAN PERALATAN
Aku hampir-hampir meninggalkan kelengkapan medkit aku atas dasar ‘melancong’. Nasib menyebelahi kami apabila gogo (Melayu Adventure Group) memang membawa medkit lengkap dan aku sendiri kebetulan ada membawa medkit. Ini menjadikan usaha merawat menjadi mudah. Jikalau terjadi peserta hanya bergantung kepada medkit gogo sahaja, dan jika berlaku pada tika operasi ‘dapur haram’ dibuka, luka pasti akan dirawat dengan lebih lambat dan ini berpotensi menyebabkan jangkitan pada luka. Lantas menambahkan penyakit yang sedia ada.

3. LAMBAT BERTINDAK
Aku rasakan pada situasi tersebut, aku secara peribadi telah lambat bertindak kerana telah memakan masa untuk analisis situasi. Ini berlaku kerana aku tidak ada pengalaman gas yang terlebih tekanan dan terkeluar sebegitu. Sebagai peminat aktiviti sukan yang ada sudut-sudut berbahaya ini, mungkin kita perlu lebihkan ilmu dan latihan terhadap situasi-situasi khas seperti ini. Walaubagaimanapun, seikut memori aku, kawalan yang dibuat oleh Abang Naza dan Kak Julya sangat baik dan tangkas bilamana mereka pantas menyelamatkan diri dan menjauhkan rakan pendaki lain dari sumber masalah. Tindakan tersebut diambil dalam beberapa detik sahaja bilamana kejadian bermula. Untuk situasi lainpun (bagi aku), tindakan menjauhi ancaman adalah tindakan pertama sebelum menganalisa situasi.

4. PEMADAMAN API MENGGUNAKAN AIR
Pada masa itu (dan sehingga kini) aku mempertimbangkan bahawa keputusan membiarkan Aniq memadamkan api (bersumber gas) dengan menggunakan air adalah OK, aku pada masa itu tidak pasti dan teragak-agak samada ianya selari dengan ilmu yang aku pernah belajar ketika menyertai kursus dahulu. Bermaksud, aku tidak peka terhadap jenis kebakaran dan factor-faktor lainnya dalam menganalisa situasi. Sesuai juga kiranya diadakan kursus/perkongsian ilmu untuk memahami lebih lanjut akan jenis dan pemadaman kebakaran jenis A dan B khususnya, manakala C dan D secara amnya.

5. MENTAL REDHO KENA KUAT
walaupun diri dan harta tercedera, Abang Naza kekal steady dalam menjalankan tugas sebagai ketua ekspidisi. beliau masih lagi mampu ketawa dan lepak tepi kolam bersama-sama peserta lain (beliau tak boleh mandi kerana nak elakkan jangkitan kuman kepada luka). begitu juga dengan Azura yang tidak terus berhenti bertugas bilamana dah tengok beg dia dijilat api. tanpa berlengah, terus goreng jemput-jemput pula. prinsip ini penting. kerana? NYAWA DAN KESELAMTAN MENGATASI SEGALANYA. harta dan duit boleh dicari nanti-nanti dan lagi-lagi

TERIMA KASIH Melayu Adventure Group – MAG KERANA MENGURUSKAN EKSPIDISI KAMI MASUK DAN KELUAR DENGAN SELAMAT !

HIGHLY RECOMMENDED!

SEKIAN,
PENULIS : Shafeeq Badek

Subscribe

Be the first to get the latest updates, right to your inbox.

Leave Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

We'd love to hear from you

Have any questions? Here's how you can reach us.