TONGKAT : KELEBIHAN DAN KEKURANGAN

KELEBIHAN

  • PENAMBAH KESTABILAN OTOT TERAS

Pada hari-hari biasa, majoriti dari pendaki menjalani kehidupan biasa yang tidak banyak menggunakan otot teras (core muscle) yang dibahagian perut dan kelilingnya.

Apabila mendaki gunung dan membawa bebanan di dalam beg, otot teras ini akan bekerja dengan lebih keras daripada biasa. Penggunaan tongkat akan mampu membantu mengagihkan sedikit keperluan penggunaan otot teras, dengan dibantu oleh otot lain (tangan).

  • BANTUAN MERENTASI SUNGAI

Ketika bergerak melintas sungai, dasar sungai semestinya tidak kelihatan dengan jelas. Waimah air sungai jernih sekalipun, kestabilan batuan/pasir di dasar sungai tersebut masih boleh diragui.

Dengan penggunaan tongkat, bukan sahaja pendaki mampu menjadikannya sebagai pasak tambahan untuk kestabilan, malah boleh digunakan untuk mengukur kedalaman yang bakal ditempuh dilangkah seterusnya.

  • MELALUI DENAI LICIN/LECAK

Tidak semua denai mempunyai pokok yang sesuai untuk dipegang sebagai pembantu menstabilkan badan ketika naik/turun. Walaupun pendaki menggunakan kasut yang mempunyai tapak yang sesuai dan mencengkam, apabila tahap lecak/lumur sudah terlalu teruk, tetap akan terasa licinnya.

Penggunaan tongkat dapat membantu menstabilkan pergerakan pendaki daripada tergelincir/jatuh.

  • MEMPERBAIKI RENTAK LANGKAH

Dengan menggunakan tongkat, secara tidak lansung akan memerlukan ritma/rentak langkah yang lebih tersusun. Ini kerana pendaki memerlukan ritma pergerakan tangan yang selari dengan teknik untuk mengalihkan tongkat dari masa.

Lantas, pendaki akan mula dapat sebuah kelajuan langkah /’pace’ yang lebih tidak besar rawaknya. Ini akan membantu badan pendaki untuk bekerja memproses dengan lebih efektif dan efisen.

  • PERTAHANAN DIRI

Umum harus sedar bahawasanya apabila memasuki hutan, secara automatik meletakkan bahawa pendaki memasuki kawasan hidupan liar.

Walaupun tidak mempunyai ilmu pertahanan diri, dengan adanya tongkat di tangan akan membantu memberikan semangat persediaan dan sekurangnya secara automatik boleh dijadikan sebagai senjata untuk mempertahankan diri daripada gangguan hidupan liar.

Peluang terselamat akan lebih tinggi apabila di tangan mempunyai tongkat, berbanding bertangan kosong sahaja.

  • PERALATAN WASPADA

Ancaman di denai bukan sahaja terdiri daripada flora yang berduri, malahan fauna yang terselindung. Tongkat boleh digunakan untuk menyelak semak/dahan berduri ketika pendaki di atas denai pendakian.

Juga, ianya boleh digunakan untuk menyelak/menepuk kawasan yang bakal dijadikan tandas (jika dalam keadaan kecemasan) untuk memastikan tiada fauna berdekatan dengan tandas tersebut.

  • PASAK TAMBAHAN

Tongkat boleh dijadikan pasak tambahan untuk menambahkan kestabilan ketika mendaki/menuruni kawasan yang curam. Ianya digunakan dalam teknik bantuan menekan badan.

Walaubagaimanapun, ianya bukan dibina untuk menahan beban seorang manusia secara keseluruhan. Jika beban diberikan adalah terlebih kapasitinya, tongkat tersebut akan berkecenderungan untuk bengkok/patah/rosak.

  • PEMBINAAN TEMPAT BERTEDUH

Pada sebelum ini, tongkat digunakan sebagai pancang utama dalam pembinaan khemah kecemasan yang menggunakan konsep open-tent (fly-ground sheet). Dimana ianya akan digunakan sebagai tiang untuk pembentukan flysheet tersebut.

Dan kini, tongkat juga digunakan untuk pembinaan khemah yang berkongsepkan ‘ultralight’. Konsep ini membuatkan khemah tersebut mempunyai berat keseluruhan yang jauh lebih ringan daripada khemah biasa.

  • SENAMAN TAMBAHAN

Untuk menambahkan aktiviti ketika mendaki, selain daripada kaki yang melangkah secara puratanya, senaman tambahan boleh dibuat dengan bantuan penggunaan tongkat.

Ini berlaku apabila tanya akan bergerak-gerak untuk meletakkan mata tongkat di tapak yang sepatutnya. Lantas, ini mampu menambah peluang untuk pembakaran tenaga yang lebih.

  • TANGAN MEMBENGKAK

Ada jenis pendaki yang akan merasakan tangan mereka membengkak apabila mendaki melebihi satu paras masa. Ini disebabkan kerana darah yang telah dialirkan ke tangan tidak berpatah balik keseluruhannya.

Dengan menggunakan tongkat, bukan  sahaja pendaki dapat menambah kadar efisen pergerakan darah di tanan, malah meninggikan aras tangan dengan mendekati/separas/melebihi aras tinggi jantung. Posisi sebegini mampu memperbaiki aliran darah semula ke jantung.

  • PENJAGAAN BATAS PRIVASI

Kita tidak boleh menolak, ada masa dan ketika akan ada situasi dimana pendaki diperlukan untuk membantu rakan pendaki lain. dan situasi ini juga berkebarangkalian adalah antara pendaki lelaki dengan pendaki perempuan.

Ada dikalangan pendaki perempuan yang tidak mahu bersentuhan dengan lelaki samada dari sebab tuntutan agama mahupun menjaga batas peribadi dengna lelaki yang mereka tidak kenal. Tongkat yang ada boleh dijadikan sebagai medium untuk bantuan gerakan tolak-tarik antara pendaki tersebut, khususnya ketika di kawasan curam.

KEKURANGAN

  • MENGURANGKAN PELUANG SENAMAN OTOT TERAS

Secara tidak sengaja didalam pergerakan pendakian biasa, kita menggunakan dan melatih otot teras kita supaya bekerja/bersenam. Penggunaan tongkat pada masa yang sama akan membantutkan peluang untuk kita menggunakan otot teras pada tahap yang lebih tinggi. ini perlu diambil kira kerana penggunaan/senaman yang lebih kerap kepada sesebuah otot itu mampu untuk memperkuatkan otot tersebut.

  • CANGGUAN PENGALAMAN (VISUAL)

Ada segelintir pendaki yang cuba untuk menikmati alam pada tahap yang lebih banyak/tinggi peratusannya ketika mereka didalam ekspidisi. Penggunaan tongkat akan sedikit sebanyak menganggu pengalaman pendakian mereka kerana melebihi 30% (kemungkinan) masa yang diluangkan untuk melihat ketika berjalan akan dipengaruhi dengan kehadiran tongkat tersebut samada secara sengaja atau tidak sengaja.

  • SALAH GUNA YANG MEMBAWA KEPADA KEMALANGAN

Setiap tongkat mempunyai takat kemampuan yang tersendiri. Lantas, teknik menggunakan tongkat juga diwujudkan supaya tongkat tersebut tidak dirosakkan secara tidak sengaja. Dengan kelemahan tidak tahu cara penggunaan sebenar ataupun tidak peka dengan penggunaan semasa, kegagalan tongkat boleh membawa kepada kemalangan.

  • LEBIH KEBERGANTUNGAN YANG MEMBAWA KEPADA KEMALANGAN

Dalam penggunaan jangka masa panjang pada sebuah ekspidisi, pendaki semestinya akan semakin menjadi semakin tidak bertenaga dan kepenatan. Apabila ini berlaku, berkebarangkalian untuk pendaki untuk bergantung kepada tongkat lebih kepada hadnya. Apabila mencapai takat kemampuannya, kegagalan tongkat boleh membawa kepada kemalangan.  

  • MEROSAKKAN MUKA BUMI

Dengan penggunaan mata tongkat yang tidak bersesuaian, bukan sahaja pasak yang diidamkan pendaki tidak akan menjadi yang terbaik. Malahan, mata tersebut juga berpotensi untuk menyumbang kepada kerosakan muka bumi denai secara tidak sengaja. Antara contoh yang ketara adalah penggunaan mata tongkat besi dimuka bumi berbatu. Dengan setiap letak/cucuk/hentak yang dibuat, batu di muka bumi tersebut akan terhakis/rosak dengan cepat berbanding tanpa penggunaan tongkat.

Penulis : Badek
Penafian : penulisan adalah berdasarkan pengalaman/pemahaman penulis. ianya tidak mencerminkan pendirian Core Republic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *