Transpex Version 2.0 (Journal Edition)

Author: Encik Amri, 30 Ascend

Sebelum ekspidisi bermula..

Segalanya bermula selepas mesyuarat antara Ahli Jawatankuasa Sementara untuk membincangkan mengenai AGM. Edan kemudian bersuara menyatakan hasrat untuk membuat satu aktiviti besar pada cuti pertengahan semester ini. Dia menghulurkan pendapat untuk ke Gunung Tahan, ataupun Trans Yong Yap ke Yong Belar. Kemudian, aku memberikan pendapat untuk ke Trans kerana pada pandangan aku, daripada mengulangi aktiviti yang sama, lebih baik mencuba sesuatu yang lain.

                Setelah selesai segala perbincangan, masing-masing balik ke asrama dan ada yang meneruskan aktiviti melepak di kantin pada lewat malam sambil berbincang mengenai hal-ehwal kelab. Aku terus balik rumah. Mengantuk. Banyak kerja yang perlu aku selesaikan dan rasa bagai memikul satu beban dan tanggugjawab yang amat berat. Apa yang perlu aku buat adalah menyiapkan poster, membuat kain rentang, membuat risalah dan menghasut rakan-rakan supaya menghadiri majlis tersebut.

                Setelah beberapa kali ditangguhkan akhirnya satu tarikh telah ditetapkan dan apa yang mengejutkan aku adalah keesokan harinya merupakan tarikh bertolak ke aktiviti besar yang dirancangkan iaitu Trans Yong Yap ke Yong Belar, selama tujuh hari. Nampak gayanya kami terpaksa bertungkus lumus untuk persediaan AGM dan ekspedisi Transpex. Segala kertas kerja, tugas promosi, mencari peralatan dan persediaan membeli makanan hendaklah dibuat dalam minggu yang sama. Pening kepala memikirkan perkara sebegini yang tak pernah berlaku dalam hidup aku, menguruskan dua aktiviti besar dalam satu masa. Hanya tuhan yang tahu betapa kelam kabutnya keadaan pada masa tersebut.

                Akhirnya, majlis AGM selesai. Pembubaran AJK lama dan perlantikan AJK baru telah selesai. Semua berpuas hati dengan kerja masing-masing. Makanan tak habis dan terpaksa menjadi santapan malam oleh pelajar-pelajar KLIUC yang terlampau, masih melepak dikala bulan mengambang di tengah malam. Aku terpaksa menjaja mee jawa dari bilik ke bilik agar tiada pembaziran berlaku. Malam tersebut banner Transpex telah siap dicetak. Boleh tahan juga hasil ciptaan aku.

Hari bermulanya eksepdisi..

                Keesokan harinya, bersamaan 4 Februari 2005, aku rasa semua peserta yang terlibat bangun pada awal pagi dan bagi menguruskan pula perkara yang masih belum selesai. Edan selaku pengerusi baru kelab bersama beberapa kroninya meneruskan tugas mencari bahan makanan untuk berkalan selama lapan hari. Aku, tugas aku sudah selesai. Cuma aku perlu mencari beberapa peralatan persendirian dan mengemas beg Deuter Eclipse 55+10 yang disayangi. Badan jadi letih tenaga hampir habis, dua minggu ke hulu hilir menyelesaikan tugas promosi dan beberapa perkata tiada berkaitan.

                Jam menunjukkan hampir pukul 5,00 petang. Aku berkemas dan berangkat ke kolej. Ingatkan semua sudah bersedia, malangnya tiada kelibat seorang pun di kawasan parkir antara blok F dan G. akhirnya aku terima panggilan dari Edan supaya bersiap sedia dan memanggil rakan-rakan seperjuangan yang lain supaya berkumpul. Kredit handphone aku habis untuk membuat panggilan pada petang tersebut sahaja. Akhirnya masing-masing muncul menampakkan batang hidung mereka.

                Setelah Edan tiba di kolej dengan barang-barang makanan, datang lagi satu masalah dengan pengangkutan. bas yang membawa pelajar ke stesen komuter sarat dengan penumpang. Kelam-kabut juga dibuatnya kerana masa sudah semakin suntuk. Aku bertolak ke stesen komuter dengan bantuan kenderaan yang dipandu oleh Alfi, ahli kelab baru yang bakal menjadi tegar. Apabila sampai di stesen komuter, terpaksa berkejar pula naik tren. Nasib baik sempat ke stesen KL Sentral kalau tidak sudah tentu ekspidisi ini terpaksa dibatalkan.

                Tepat jam 8.15 malam, bertolak menaiki keretapi menuju terus ke Sungai Siput, Perak. Perasaan gembira muncul kerana aku jarang naik keretapi. Boleh dikira jugalah berapa kali naik keretapi sepanjang 19 tahun hidup aku di muka bumi ini. Tiada perasaan bosan sepanjang perjalanan yang mengambil masa hampir lima jam ini.

                Setelah hampir 6 jam berada dalam keretapi, akhirnya sampai di stesen yang dijanjikan pada awal pagi 5 Febuari 2005. Setelah sampai, Edan memberi arahan untuk mengeluarkan kembali barang-barang di dalam beg masing-masing untuk diagihkan kembali. Setelah semua barang keperluan diagihkan sama rata, kami menunggu ketibaan Ah-Heen dengan pacuan empat rodanya, Toyota Hilux. Perjalanan yang meletihkan di dalam keretapi tidak memaksa mata ini untuk terus berjaga, alas getah dibentangkan, badan direbahkan lantas mata dilelapkan. Pedulikan Ah-Heen, kalau dia datang pandai-pandailah aku bangun.

                Lena tidurku dikejutkan dengan bunyi bising kenderaan menghala ke arah stesen keretapi. Jam menunjukkan pukul 6.00 pagi, Ah-Heen tiba membawa dua buah Toyota Hilux lantas membawa kami singgah sebentar ke kedai runcitnya. Setelah berbincang, Ah-Heen hanya boleh membawa sebuah kenderaan sahaja masuk ke Kuala Mu. Kami semua disumbat ke dalam sebuah Hilux macam ikan sardin. Hampir lemas aku dibuatnya.

                Perjalanan di dalam Hilux memberikan aku satu pengalaman baru dan ketidakselesaan yang melampau menyebabkan aku tidak senang duduk. Aku juga mendapat saguhati di sepanjang trek balak yang dilalui. Kepalaku terhantuk batang buluh sebesar lengan membentuk satu luka kecil di dahi. Berdarah. Namun, bagi aku semua ini dugaan yang tidak mampu mematahkan semangat untuk meneruskan ekspedisi ini. Alhamdulillah akhirnya selamat sampai ke Pos Kuala Mu.

                Ketibaan kami disambut oleh Tok Batin. Beberapa orang kampong tersebut datang melihat kelibat kami dengan lebih dekat. Aku sempat bergambar dengan anak-anak orang asli dan melihat persekitaran kampong tersebut yang aman dan tidak tercemar. Kagum. Setelah makan tengahari kami bergambar beramai-ramai untuk membuktikan kami telah sampai ke kampong tersebut dan kami memberi sedikit sumbangan murni kepada Tok Batin untuk diagihkan kepada orang kampung yang memerlukan.

                Setelah jurupandu bersedia, kami bertolak ke puncak Gunung Yong Yap pada pukul 12.30 tengahari. Perancangan asal nak bergerak naik pada awal pagi telah berubah akibat beberapa masalah teknikal. Pada permulaan pendakian, aku telah menerima tekanan daripada keadaan trek yang memacak tinggi. Kaki terpaksa diangkat pada paras 90 darjah sambil menanggung beban beg yang sarat dengan air, makanan dan peralatan. Memandangkan aku ditugaskan berada di barisan hadapan mengekori Mas dan menanda trek agar orang belakang tidak tersesat jalan, hampir habis tenaga badan aku kerah. Namun, misi aku gagal dan tugas tersebut diserahkan kepada Jefri yang agak lebih bertenaga pada masa tersebut.

                Pada pukul 4.30 petang, aku, Jefri dan Mas tiba di pondok pertama dimana di kawasan ini terdapat beberapa tanaman yang diusahakan oleh orang asli. Namun kami tidak singgah lama, kami meneruskan perjalanan selepas aku habis meratah sebatang tebu yang diberikan oleh Mas. Jam menunjukkan pukul 5.39 petang, memandangkan perjalanan uang perlu kami tempuhi masih jauh, kami membuat keputusan untuk tidur di Kem Behul. Terdapat sebuah pondok di kem ini dimana ianya menjadi persinggahan orang asli yang keluar mencari hasil hutan. Tapak perkhemahan pertama ini agak selesa kerana lapang dan bersih serta berdekatan dengan sumber air.

                Pada 6 Februari 2005, kami dikejutkan dengan keluhan Zaid yang kehilangan parang kesayangannya. Apa boleh buat, takkan nak tuduh orang asli yang mengambilnya. Aku hanya berdiam diri dan buat kerja sendiri. Seperti biasa, kesemua bahan makanan dan peralatan dikumpul dan dibahagikan semula. Ketika proses pembahagian, ada antara rakan-rakan seperjuangan yang cuba mengelak dari membawa beban yang berat. Akan tetapi, misi beliau tidak berjaya dan dikenakan hukuman membawa makanan di dalam tin. Taktik kotor yang mudah dibongkar oleh sesiapa sahaja.

                Jam menunjukkan pukul 9.30 pagi, aku yang ditugaskan mengekori Mas dari belakang memulakan perjalanan ke puncak Yong Yap. Seperti biasa aku akan menyuruh Jefri mengekori aku dari belakang. Mana tahu kalau tiba-tiba stamina aku down dan dia boleh kejar Mas. Pada jam 3.30 petang, aku berjaya menjejakkan kaki di atas puncak Yong Yap. Kedudukan Jefri telah bertukar dengan Dayah. Jefri hilang entah kemana.

                Jam menunjukkan tepat pukul 5.00 petang, kami tidak membuang banyak masa di atas puncak. Setelah gambar diambil, udara dihirup dan tenaga dikumpul. Dan puas menghayati keindahan pemandangan dari atas puncak, kedua belah kaki ini aku arahkan segera untuk bergerak turun. Melihat jam hampir pukul 7.00 malam, aku berhenti berehat sambil menunggu ketibaan rakan-rakan yang ketinggalan jauh ke belakang. Memandangkan hari semakin gelap, akhirnya keputusan muktamad telah dibuat oleh Edan selaku ketua ekspedisi untuk berhentu menunggu orang terakhir iaitu Along dan berkemah di tengah trek. Satu malam kami jadi komando yang tidak diiktiraf. Kami tidur di atas permatang dimana laluan angin menjadi pilihan sejati. Cuaca sejuk telah menjadikan kami agak tidak normal berbanding biasa. Sentiasa buat lawak dan tergelak sehinggakan Mas sebagai jurupandu orang asli turut dijangkiti penyakit mental ini.

                Tiada kokokan ayam kedengaran di dalam hutan, aku mencapai handphone yang menunjukkan jam 7.00 pagi bertarikh 7 Febuari 2005. Walaubagaimanapun, suasana pagi dikejutkan dengan keluhan Daus yang mengatakan kedua-dua jurupandu tersebut mahu pulang ke kampong. Tekanan tersebut turut aku terasa kerana bagaimana perjalanan di hutan banat dapat diteruskan tanpa jurupandu? Pening juga ketua ekspedisi ini memikirkannya. Mas telah meletakkan titik noktah di atas keputusan yang dibuat. Kami tidak dapat berbuat apa-apa melainkan meneneruskan perjalanan tanpa jurupandu. Ringgit Malaysia Empat Ratus Lima Puluh dihulurkan kepada Mas dan Rasak. Kos yang agak tinggi bagi perkhidmatan orang Asli.

                Tepat jam 9.30 pagi, perjalanan dimulakan. Edan, selaku ketua ekspidisi telah bersetuju memikul tanggungjawab sebagai pencari jalan dan Along tetap setia ditempatkan di bahagian belakang menjadi pujaan golongan wanita yang bergerak agak perlahan sedikit. Aku mengekori di belakang Edan, menolong mencari jalan sambil bersuka ria menebas buluh dan semak berduri yang menutupi trek. Memandangkan tali penanda telah kehabisan, setiap simpang dan jalan yang mengelirukan kami tanda dengan tiga pakukan di pokok sebagai panduan kepada rakan-rakan yang lain. Azab sengsara menebas hutan dan pening memikirkan jalan yang bersimpang-siuh hanya kami berdua yang tahu.

                Sasaran kami pada hari ini adalah ke puncak Gunung Bubu. Jam 12.00 tengahari kami Selamat tiba di atas puncak Bubu. Memandangkan hari masih muda, kami turun dan meneruskan perjalanan menuju ke campsite yang terletak di antara kaki Gunung Bubu dan kaki Gunung Tok Nenek pada jam 1.00 tengahari. Setelah hampir 2 jam berjalan, kami tiba di satu lurah dimana aku dan Edan menjumpai satu punca air. Kami juga menjumpai satu kawasan yang dipercayai merupakan kawasan tapak perkhemahan yang telah lama ditinggalkan. Perjalanan ke lopak air mengambil masa 5 minit.

                Setelah semua rakan-rakan sampai. Makanan disediakan bagi mengalas perut yang tidak henti-henti berbunyi. Jam 4.00 petang, kami meneruskan perjalanan. Hampir 2 jam setengah berjalan kami berhenti rehat di Puncak kayung dan pemandangan indah di atas puncak ini membuatkan aku terlupa akan kepenatan yang dirasa. Setelah penat dan sengal kaki terubat, perjalanan diteruskan tepat jam 6.30 petang menuju ke Gunung Tok Nenek. Namun, segala hajat yang tersirat menjadi hampa kerana simpang menuju ke gunung tersebut telah tertutup menunjukkan telah lama gunung tersebut tidak dijejaki. Bagi aku, dapat melihat gunung tersebut dari jarak dekat sudah memadai. Perjalanan ke campsite diteruskan.

                Jam digital aku menunjukkan pukul 9.30 malam. Kumpulan ekspedisi tiba di tapak perkhemahan seperti yang termaktub dalam laporan yang diperolehi. Kem tersebut kami namakan sebagai Kem Kacang. Mengapa ia dinamakan sedemikian? Ada ceritanya yang tersendiri. Syukur kerana terdapat anak sungai berdekatan dengan campsite tersebut. Aku, Jeff, Zaid dan Daus di kerah untuk turun mengambil air dan mencuci messtin. Perjalanan turun ke anak sungai mengambil masa selama dua-tiga minit. Malam tersebut aku tidur di dalam hammock. Aku tidur dengan lena, manakala kerisauan gangguan binatang buas yang melanda Along menyebabkannya terpaksa berjaga.

                Keesokan harinya bersamaan 8 Febuari 2005, aku bangun awal pagi. Aku lihat Edan sedang lena tidur kerana kepenatan menggoreng kacang hingga awal pagi. Setelah mandi dan sarapan pagi, kami melakukan senaman memanaskan badan dan mereggangkan otot-otot. Bekalan makanan dan peralatan dibahagikan sama-rata dan kami bertolak meneruskan perjalanan trans ini pada jam 11.00 pagi. Perjalanan hari ini agak santai kerana banyak melalui permatang. Ada kala aku dan Edan terpaksa memotong laluan asal kerana terdapat sarang penyengat.

                Mengikut gambaran laporan dan peta ringkas yang diperolehi, kami akan bertemu dengan puncak setinggi 1886 meter dari aras laut. Jam 4.00 petang, masa rehat telah tiba dan kami berhenti makan di pinggir sebatang sungai di kaki bukit setelah melintasi anak sungai yang kecil. Jam 5.00 petang, masa rehat tamat dan perjalanan diteruskan dengan mendaki bukit yang agak tinggi. Tepat jam 7.00 malam kami telah tiba dipuncaknya, setelah merempuhi dan melepasi buluh-buluh kecil. Mengikut jangkaan kami, puncak ini adalah Puncak Permandangan. Puncak yang terdiri dari ketulan batu yang agak besar dan curam ini menyebabkan aku terasa gayat.

                Perasaan gerun dan ngeri menyelubungi kami apabila berada di puncak ini. Meniti permatang yang lebarnya tidak lebih dari satu meter amatlah bahaya kerana jika tersilap langkah, pasti akan terjatuh ke dalam gaung yang curam. Dari atas puncak ini aku dapat lihat keindahan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Aku dapat lihat Gunung Yong Belar dan Gunung Junction. Manakala di belakang pula tersergam teguhnya Gunung Yong Yap, Gunung Bubu dan Gunung Tok Nenek.

                Pada jam 7.45 malam, kami bertolak dari situ menuju ke campsite 3 dikaki Gunung Junction. Trek ke Puncak Bonsai Tengah untuk ke tempat tujuan kami pada mulanya amat curam. Ia menegak hampir 85 darjah sehingga aku terpaksa menggunakan tangan dan berpaut pada akar-akar pokok yang rapuh untuk panjat ke atas. Keadaan yang gelap menyebabkan kami berjalan degnan perlahan dan tersekat-sekat. Malahan keadaan jalan yang banyak dan bersimpang-siuh menyebabkan Edan, sebagai ketua ekspedisi menjadi risau dan gusar kerana takut akan tersesat. Tambahan pula disepanjang perjalanan kami telah menjumpai banyak kesan najis gajah yang lama.

                Hampir pada jam 11.00 malam, kami tiba di satu lagi puncak yang agak bersih dan cantik keadaannya dimana pokok-pokok renek ala bonsai yang timbuh di kiri dan kanan laluan hampir bercantum menjadi atap. Badan yang semakin letih dan tenaga yang semakin berkurangan, menyebabkan kami mengambil keputusan untuk bermalam di puncak yang tidak diketahui namanya itu. Walaupun terpaksa menghadapi risiko kekurangan bekalan air. Tambahan pula kami tidak tahu jarak sebenar tempat kami bermalam dengan punca air.

                9 Febuari 2005, jam 8.00 pagi Along telah mengejutkan aku untuk melihat pemandangan pagi di atas puncak tersebut. Sekali lagi dalam hidup aku melihat keajaiban ciptaan tuhan dimana aku melihat awan berkepul-kepul di sekeliling puncak seakan membentuk lautan. Kepulan awan menutupi bahagian bawah gunung-ganang disekeliling dan hanya meninggalkan pemandangan puncak untuk tatapan kami berdua. Beberapa minit kemudian, setelah matahari mula menonjolkan diri, Edan dan Men datang. Inilah rezeki untuk mereka yang bangun pagi.

                Apabila kepulan awan mulai menghilang dari pandangan menampakkan segala puncak gunung di sekeliling, kehairanan mula melanda perasaan kami. Mengapa kedudukan Gunung Korbu berada dihadapan kami? Timbul kebuntuan di kepala kami. Setelah berbincang kami telah membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan. Sebelum memulakan perjalanan, Edan dan Along cuba menjangka jarak dan menentukan arah perjalanan berpandukan peta yang diperoleh. Nasib baik aku bawa kompas. Peta dan laporan tersebut tidak banyak membantu kerana tidak lengkap.

                Jam 11.00 pagi, perjalanan dimulakan setelah masing-masing sudah bersarapan dan berkemas. Trek laluan kami bersemak kerana sudah lama tidak dilalui. Setelah berjalan beberapa lama, aku dan Edan berhenti kerana terdapat simpang yang menuju ke arah kiri dan kanan. Edan membuat keputusan untuk memilih laluan kiri manakala aku ditugaskan untuk meninggalkan tanda dan menutup laluan disebelah kanan. Jam 2.00 petang kami sampai di kawasan punca air. Kami berhenti rehat dan membuat makanan tengahari. Jam 4.00 petang, kami bertolak dai punca air tersebut untuk ke puncak Junction.

                Pada jam 5.30 petang, kami tiba di satu persimpangan lagi dipuncak bukit selepas melepasi tiga batang sungai. Kemudian, pada jam 6.00 petang, kami meneruskan perjalanan kembali. Perjalanan yang agak panjang pada waktu malam membuatkan aku mengantuk dan letih. Tambahan pula sepanjang perjalanan aku terpaksa menebas dan merangkak dalam rimbunan pepohon buluh yang kecil. Melintasi di bawah akar-akar pokok Bonsai yang agak tua dan berlumut. Setiap kali melangkah pasti beg ayang aku bawa tersangkut di dahan-dahan ranting kayu yang melintang dan menutupi jalan. Jam 10.30 malam kami tiba di Puncak Anak Junction. Kerana terlalu letih dan tidak larat untuk meneruskan perjalanan lagi, kami membuat keputusan untuk bermalam di puncak Anak Junction.

                Pada 10 Febuari 2005, masih tiada kokokan ayam jantan kedengaran. Bunyi penggera handphone telah yang membangunkan aku yang masih lena dibuai mimpi. Penat menebas semalam masih terasa. Seperti biasa aku bangun pada awal pagi, makan sarapan, membuang apa yang patut dan yang penting sekali menikmati pemandangan di Anak Junction. Jan 12.30 tengahari, setelah semua bersiap sedia, kami bertolak ke puncak Junction. Perjalanan mengambil masa satu jam sahaja. Hati ini semakin panas. Kami menjumpai beras yang ditinggalkan oleh rakan kami dari Radak Adventure Team. Rezeki jangan ditolak, bala jangan dicari.

                Jam 2.15 petang, kami turun dari puncak Junction nak meneruskan perjalanan ke Kem Agas atau lebih dikenali sebagai H20. Kumpulan ekspedisi tiba di H20 pada jam 5.30 petang. Aku meletakkan beg dan membentangkan alas getah lalu merebahkan badan menghilangkan penat. Makan petang dimasak dan ada di antara kami yang sempat membersihkan diri. Hari semakin gelap. Aku menoleh handphone, jam menunjukkan 7.30 malam. Kami teragak-agak untuk meneruskan perjalanan ke Kem Kuali. Akhirnya, dengan hati yang berat, Edan telah membuat keputusan agar meneruskan perjalanan hingga jam 12.00 malam. Kami bertolak pada pukul 7.30 petang. Hampir setiap hari kami terpaksa bekerja lebih masa. Apa boleh buat, salah satu punca adalah lewat bangun pagi.

                Setelah beberapa jam berjalan di dalam pekat malam, satu-persatu headlight tumbang kehabisan bateri. Aku sudah merasakan fikiran dan tubuh badan aku bagai di awangan, hanya kaki yang berjalan. Jam menunjukkan pukul 1.30 pagi, langkahku menjadi lemah longlai kerana mengantuk. Edan memperlahankan langkah dan berhenti berehat di kawasan yang agak sesuai. Aku terlelap seketika. Kehadiran Ijat membuatkan aku terjaga. Emosi aku terganggu seketika.

                Akhirnya Edan membuat keputusan untuk tidur di tengah trek setelah dihasut oleh Ijat yang pada pandangan aku sudah tidak dapat meneruskan perjalanan. Dalam keadaan separa sedar aku membentangkan rubber mat dan menyelimuti tubuh dengan sleeping bag lantas merebahkan diri di trek yang agak menurun. Kawasan kami tidur seakan tempat sarang beruang. Alhamdulillah, tiada apa-apa yang terjadi sepanjang waktu tidur kami, cuma bunyi dengusan beruang acap kali kedengaran.

                11 Febuari 2005, saat yang dinanti-nantikan telah tiba. Tarikh keramat yang menjanjikan kebebeasan dari hutan belantara ini. Seawal jam 8.30 pagi kami bergegas ke Kem Kuali. Perut aku berbunyi. Mana tidaknya, kami tidak makan malam dan sarapan pagi. Biskut-biskut kering dan gula-gula menjadi idaman sebagai pengalas perut dan pembekal tenaga. Posisi aku telah berubah ke bahagian belakang rombongan mengikuti Along dan Men, pelajar dari UPM. Jam 10.00 pagi, kami selamat sampai ke Kem Kuali. Sejuknya tempat tersebut hingga mampu menggegarkan seluruh badan. Terdapat sumber air di kem tersebut. Memandangkan tempat tersebut merupakan perhentian terakhir, kami telah membuat persetujuan untuk menghabiskan bekalan makanan.

                Pagi tersebut, perut ini diisi dengan Nasi Lemak berlauk Sardin dan Kari Ayam Vindaloo. Ijat, Nas dan Gee membancuh tepung membuat cekodok sebagai santapan di tengah perjalanan. Jam 2.00 petang, kami meneruskan perjalanan ke puncak Yong Belar. Trek untuk ke puncak agak menegak. Jam 2.45 petang kami tiba di puncak Yong Belar. Cuaca agak panas. Aku menurunkan harversack dan mengeluarkan banner dan kami bergambar sebagai bukti kejayaan pendakian ini.

                Kami tidak singgah lama di atas puncahk bagi mengejar masa. Jam 3.00 petang kami turun dari puncak dengan kelajuan maksimum. Tiada tanda dibuat dan tiada aktiviti penebasan dilakukan di sepanjang perjalanan turun. Sekarang kedudukan dibarisan hadapan di rangkul oleh Edan dan Daus diikuti oleh aku dan Dayah. Along tetap di barisan belakang bersama Zira dan Men. Kami berjaya turun dari puncak Yong Belar ke Kem Tudung periuk dalam masa 2 jam. Di kem tersebut, Edan telah terserempak dengan beruang. Tak dapat aku gambarkan perasaan Edan pada masa tersebut. Jam 6.30 petang kami bertolak ke pintu rimba.

                Jam 8.15 malam, kumpulan eksepdisi Selamat sampai di pintu rimba dan perjalanan diteruskan melalui trek balak untuk ke simpang menghala ke Kampung Raja. Aku menoleh jam tangan yang dipakai oleh Dayah yang menunjukkan hampir pukul 10.00 malam. Tepat jam 10.00 malam kami tiba di kawasan sayur di Cameron Highland. Perjalanan kami seolah-olah tidak sampai ke penghujungnya. Akhirnya kami terpaksa berpatah balik untuk meminta bantuan dari pekerja kebun sayur tersebut unutk membawa kami keluar dari trek balak tersebut.

                Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi, kami selamat sampai ke simpang menuju ke Kampung Raja. Kami amat berterima kasih kepada pekerja kebun sayur tersebut yang ikhlas menghantar kami pada lewat malam tanpa mengenakan sebarang bayaran. Pukul 2.15 pagi, bas kolej tiba untuk membawa kami pulang. Raut wajah kegembiraan mula terpancar di setiap wajah kami dan menghangatkan kembali suasana suram. Bahu aku terasa amat sakit, mungkin kesan membawa bebanan yang melebihi kemampuan diri. Walau apapun, aku amat berpuas hati dengan perjalanan ekspedisi ini yang tidak membosankan. Segala pengalaman pahit dan manis di sepanjang 7 hari itu akan aku abadaikan dalam diri ini. Syukur ke hadrat Ilahi kerana melindungi kami sepanjang perjalanan ekspidisi dan jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang telah membantu menjayakan ekspedisi insan Transpex Versi 2.0 ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *