Trans Noring – Edisi Tahun Baru (29 December 2017 – 4 Januari 2018)

Author: Joe Zul

Pengenalan Gunung Anak Noring & Gunung Noring Timur

Gunung Anak Noring (1,888.8 meter (6197 kaki) merupakan salah satu puncak yang terletak di daerah Dabong, dalam jajahan Kuala Krai, Kelantan.

Di persekitaran gunung Anak Noring terdapat pelbagai spesies flora dan fauna termasuk spesies yang tidak terdapat di mana-mana tempat dan hanya terdapat di kawasan Hutan Jelawang sahaja. Antara yang menarik perhatian ialah sejenis buluh yang dikenali sebagai Futomuqlua Pubesen’ dan tumbuhan bernama Begonia’.

Selain itu terdapat juga ratusan jenis orkid pula dapat dilihat di merata tempat kawasan pergunungan yang dilalui. Juga terdapat pelbagai jenis burung enggang seperti burung Enggang Papan, Great Hornbill ataupon ‘Buceros bicornis’ dan serangga yang amat menarik. Kawasan hutan berbukit di sekeliling gunung Anak Noring telah dikenal pasti sebagai kawasan badak liar.

Gunung Noring Timur yang terletak di Banjaran Titiwangsa, Kelantan yang mempunyai ketinggian setinggi 1,861 meter (6,106 kaki).

Gunung Noring Timur mempunyai hutan dipterokarp bukit, hutan dipterokarp atas, Hutan Montane, dan Hutan Ericaceous atau hutan gunung. Terdapat banyak flora di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan. Pernah dijadikan tempat perlindungan pengganas komunis ketika darurat suatu masa dahulu.

 

Barisan Ahli Ekspedisi :-

Malim Gunung Profesional :-

  1. Amir Hamzah a.k.a Abang Kie
  2. Zuhairi a.k.a Heri (Chef de Cuisine)

 Sweeper :-

  1. Amin

 Pembantu Chef de Cuisine :-

  1. Akma
  2. Syafika a.k.a Epi

 Ahli Ekspedisi :-

  1. Amir
  2. Muhibbudin a.k.a Budin
  3. Fakruddin a.k.a Kudin
  4. Syukri a.k.a Syuk
  5. Sheikh Azri a.k.a Sheikh
  6. Wan Imran a.k.a Meran
  7. Zulkifli a.k.a Joe
  8. Hazwani a.k.a Wani
  9. Izyan Farhana a.k.a Hana

 

Permulaan Ekspedisi

 Hari Pertama – 29 Disember 2017

 Menu :-

Makan Malam – Nasi putih & Ayam Masak Kuzi + Tempe Goreng + Papadom

 Masa :-

 0900 – Menaiki lori dari RnR Jelawang

1040 – Rumah Pam Sungai Terang

1350 – Tiba di Kem Suk Sakai

Hari Pertama yang Ceria & Santai

 Masih lagi ceria dan bergelak ketawa mengharungi hari pertama yang santai, Tapi kami disambut dengan hujan renyai-renyai ketika dalam lori, Hujan semakin lebat ketika di pertengahan perjalanan menuju ke Kem Suk Sakai. Maka kami berehat sebentar di pinggir sungai sambil mencuci kotoran lumpur. Kedengaran suara ‘Sap kok lu’ dan mulalah asap keluar kepul-kepul dari mulut beberapa kaum lelaki. Pesanan awal daripada Abang Kie ‘hari pertama memang mudah, kita tengok hari kedua nanti’ kedengaran agak menyeramkan. Kami tiba di Kem Suk Sakai pada jam 1350, setiap ahli mengambil tugas masing-masing dengan memasang kelengkapan perkhemahan dan bersiap untuk bermalam. Hujan mula mengiringi semasa mendirikan ‘fly & ground’langsung tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti sehingga ke malam hari. Selesai makan malam, bermulalah sesi yang ditunggu-tunggu iaitu sesi ‘kuaci’. Amir dan kuaci tak dapat dipisahkan. Dia merupakan Raja Kuaci trip kali ini sebab dia membekalkan berbungkus kuaci untuk dimakan bersama-sama. Sesi kuaci merupakan sesi pengenalan sesama ahli, berkongsi cerita dan pengalaman masing-masing sepanjang penglibatan dalam aktiviti mendaki gunung.

 

Hari Kedua – 30 Disember 2017

 Menu :-

 Sarapan                        – Nasi Goreng Sardin

 Makan Tengahari       – Nasi Putih, Ayam Masak Merah

Makan Malam             – Nasi Putih, Sup Ayam + Telur Dadar + Sambal Kicap

Teh O Lemon + Kopi O ‘Kaw’

 Masa:-

 1020 – Kem Suk Sakai menuju ke kem kedua

 1730 – Kem BCA

Hari Kedua Noring yang Menawan Jiwa 

 Perjalanan hari kedua diteruskan, ekspedisi Noring Timur mula mengeluarkan taring. Hari kedua merupakan hari yang panjang untuk tiba ke Kem BCA (Budak Cap Ayam), keadaan trek yang perlu ditebas bagi membuka jalan yang dipenuhi pohonan duri dan buluh runcing yang tajam. Langit semakin mendung, hujan mulai turun menyebabkan langkah demi langkah menjadi berat dek kerana keadaan muka bumi Noring yang basah, lembut dan berlumpur adakalanya perlu melalui laluan gajah aktif yang lumpurnya agak dalam. Struktur muka bumi Noring sememangnya unik berbanding dengan tempat lain kerana ia merupakan hutan dara di sebelah atas manakala hutan sekunder di bahagian bawah yang jarang menerima tetamunya.

 Terdapat kesan cakaran harimau pada batang pokok serta najis gajah di serata tempat membuatkan kami lebih berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling, kecuraman laluan boleh mencecah sehingga ke 75 darjah. Adakalanya perlu melalui sungai yang airnya amat dingin. Hujan semakin lebat kami berhenti di tepi sungai untuk melepaskan lelah dan mengisi perut bagi memberikan tenaga. Dalam perjalanan, kami sempat menikmati pancaran cahaya matahari selama 10 minit yang mana itu lah matahari terakhir kami sepanjang trip. Kedengaran Heri,

‘Matahari wei matahari. Orang depan,berhenti dulu.Sap kok lu’.

Masing-masing seperti kanak-kanak dapat gula-gula selepas dapat tengok matahari selama 10 minit.

 Perjalanan disambung semula.Kami mula memasuki ke kawasan pohonan bonsai yang cantik, terdapat lingkaran akar berpintal membentuk seperti pintu gerbang seperti di alam fantasi. ‘Pintu gerbang’ seolah-olah menyambut kedatangan kami. Abang Kie berhenti di last waterpoint untuk regroup dan menyuruh kami ambil air disitu untuk dipikul ke kemsite. Katanya 15 minit sahaja dari situ untuk ke kemsite. Bila dengar 15 minit dalam hati terdetik ‘tak lah jauh mana’. Jadi boleh ke kemsite dulu letak beg dan turun balik.

‘Saya naik ke kem dulu pasang fly lepastu saya turun balik Ki ambik air.Sebab cuaca elok ni nak pasang fly.’

Itulah ayat Heri di mana yang lain turut bersetuju. Naik naik dan naik, rupanya kemsite belum lagi nampak. 15 minit telah berlalu. Hanya kawasan lapang yang disangka kemsite sahaja baru jumpa. Kemsite? Naik lagi. Pacak lagi. Dalam hati, ‘Ini bukan 15minit oiii’. Tepat pada jam 1730 kami tiba di kem ke-2. Kem BCA amat mengujakan lapang dan bersih seperti taman. Terdapat pohon bonsai yang besar dan lopak air yang jernih menjadi sumber air untuk kami semua. Ianya bagaikan taman ‘ghaib’ yang indah. Desiran angin dingin bertiupan. ‘Fly & ground’ sudah siap didirikan. Mula lah suara perli memerli kedengaran,

‘Ha,jom ambik air! 15 minit je kannn’.

Dan kata-kata itu disambut dengan gelak ketawa dari yang lain. Maka minum lah air lopak yang ada di situ. Berlopak-lopak kau! Hahaha. Angin bertiup sangat sejuk sampai ke tulang hitam orang tua cakap. Ada yang bergurau suruh matikan aircond sebab tak tahan sejuk.

 Seperti biasa, ‘geng dapur’ bertungkus lumus menyediakan santapan malam. Sementara geng lain membantu apa yang perlu, bergotong-royong menyediakan bahan-bahan masakan. Selesai membantu dan menunggu makanan siap, kami mengisi masa terluang dengan bermain permainan yang menguji akal fikiran. Ujian penglihatan ujian pendengaran ujian berfikir adalah antara permainan yang dipermainkan. Permainan yang paling mengujakan adalah ‘Werewolf’. Dimana kami perlu mencari suspek ‘Werewolf’ diantara pemain-pemain (dikenali sebagai ‘citizen’). Sekiranya suspek gagal dikesan sehingga akhir permainan, kemenangan akan berpihak kepada ‘Werewolf’ dan vice versa. Penat bermain, makanan malam terhidang, hujan renyai mula turun sehingga kami terlena.

 

Hari Ketiga – 31 Disember 2017

 Menu :-

 Sarapan                        – Nasi Goreng Ikan Masin

 Makan Tengahari       – Nasi Putih, Oseng Daging (Resepi rahsia chef)

 Makan Malam             – Nasi Putih, Kari Daging

 Masa :-

 1110 – Kem BCA

 1250 – Puncak Tipu Anak Noring

 1500 – Last Water Point

 1700 – Kem  Permatang 

Hari Ketiga makin berbisa

Pergerakan dari Kem BCA ke Puncak Anak Noring agak lewat,  hujan mulai turun dan semakin lebat diselangi dengan tiupan angin dingin membuatkan kami mengigil kesejukan. Masing-masing mengemas barang sambil menggigil.Sesekali angin datang semua menjerit kesejukan, Cabaran hari ini adalah laluan gajah yang agak dalam jika tersalah langkah pasti akan tenggelam, laluan licin dimana rata-rata jatuh tersungkur ada yang sangkut dicelahan pokok serta jatuh kaki kiri dan kanan keatas. Gelak ketawa mengiringi perjalanan kami ke puncak. Pacak tiada kesudahan. Membajak itu pasti. Nampak sahaja rupa pacak maka kedengaranlah lagu dari corong speaker si Syuk.

‘Cukup disini perjalanan kita, menghukum diri, mendera hati..ini……’.

Lagu itu seolah-olah kena dengan perjalanan kami hari ini. Semakin hampir ke puncak terasa semakin dingin dek kerana tiupan angin kencang berserta hujan. Setelah sampai ke Puncak Anak Noring kami berehat dan bergambar sebentar. Apabila melihat penanda puncak ataupon ‘Beirut’ keluli, hati kami terasa sayu dan terfikir usaha keras warga Jabatan Ukur dan Pemetaan untuk memasang penanda tersebut dan semestinya perlu mengharungi cabaran untuk sampai kesini.

Setelah itu, perjalanan diteruskan lagi untuk ke last waterpoint waterfall di mana kami akan berhenti disitu untuk makan tengahari. Trek menurun dan licin sampai ke waterfall. Bila licin mulalah mereka membajak. Kedengaran suara gelak tawa dan pastinya ada yang tangkap biawak masa on trek.Setelah perut kenyang diisi dengan nasi putih dan oseng,kami perlu hadap trek pacak selama 2 jam sebelum sampai ke kemsite. Hujan masih lagi lebat ketika kami tiba ke Kem Permatang tepat jam 1700, dimana aliran air menuruni di serata tempat. Kelihatan tahi gajah dimerata tempat. Ada yang lama dan ada yang baru. Dengan kerjasama antara ahli ekspedisi, kami berjaya menyiapkan kelengkapan untuk bermalam di Kem Permatang. Kami perlu memasang ‘fly & ground’ dikala hujan lebat dan kesemuanya siap dipasang sebelum malam. Heri dan Krew dapur pula bertungkus lumus menyiapkan makan malam. Keceriaan masih terukir pada wajah masing-masing untuk meneruskan ekspedisi yang belum berakhir. Kem permatang merupakan tempat gajah berehat dimana terdapat bahan buangan gajah diserata tempat dan tempat dimana gajah berkubang, kelihatan seperti kolam lumpur yang amat dalam. Setelah selesai makan malam, masing-masing mengambil tempat untuk berehat. Kami tidur ditemani hujan. Dengan harapan esok pagi hujan akan berhenti.

 

Hari Keempat – 1 Januari 2018

 Menu :-

 Sarapan                        – Lempeng & Kari Daging

 Makan Tengahari       – Nasi Putih & Daging Halia

 Makan Malam             – Nasi Putih & Daging Masak Lemak Cili Padi

 Masa :-

 1020 – Kem Permatang

 1420 – Puncak 1663

 1810 – Last Water Point (Kaki Gunung Noring Timur)

Hari Keempat Bertilamkan Air

           Perancangan Tahun Baru 2018 diteruskan, kami semua berkemas untuk meneruskan perjalanan bermula dari Kem Permatang menuju ke Puncak Gunung Noring Timur. Semasa briefing, Abang Kie memaklumkan bahawa perjalanan hari ini jauh. Kemsite akan ditentukan apabila sampai ke kaki Noring pukul berapa. Memandangkan sudah ada beberapa peserta peralatan tidur sudah basah, Heri memberi pilihan demi keselamatan kami bersama. Samaada kemsite di kaki Noring atau di puncak Noring tetapi bergantung kepada keadaan. Perjalanan masih sama melalui laluan gajah aktif dan berliku-liku. Tepat pada jam 1420 kami tiba di Puncak 1663 dan berehat untuk makan tengahari. Perancangan awal makan tengahari di puncak Bonsai tapi memandangkan semua kelihatan letih dan kelaparan, Abang Kie berhenti di Puncak 1663 sahaja. Menu yang disajikan adalah Nasi Putih berlaukkan daging halia berkuahkan air hujan.

 Setelah berehat lebih kurang 15 minit, perjalanan diteruskan walaupun langit semakin kelam dan hujan masih lagi lebat. Kami perlu melalui beberapa batang sungai dan memanjat pohonan tumbang untuk sampai ke Kaki Gunung Noring Timur. Ketika regroup, ‘Jauh lagi ke Abang Kie?’,tanya si Akma. Jawab Abang Kie, ‘Lagi dua bukit’. Lagi dua bukit taklah jauh mana. Katanya Heri dalam sejam sampai. Perjalanan diteruskan. Bukit pertama dah lepas. Ok, satu bukit lagi sampai. Turun naik turun naik batang hidung kemsite pun tak nampak. Sudah kedengaran suara di belakang,

‘Kata dua bukit tapi ni dah berbukit-bukit. Kemsite nya mana wei?’.

Lain macam dua bukit Abang Kie ni. Waktu menunjukkan jam 1810, kami tiba di tempat yang dituju. Heri dan Abang Kie membuat keputusan untuk bermalam di kaki Noring memandangkan masing-masing sudah penat. Jika perjalanan diteruskan, kami berkemungkinan akan sampai lewat malam di puncak dengan keadaan trek lagi teruk untuk. Apabila sampai, mulalah si Akma borak dengan Abang Kie,

‘Abang Kie, tadi cakap dua bukit tapi dah berbukit-bukit saya panjat baru sampai kemsite.’Abang Kie gelak sambil menjawab, ‘Dua bukit besar. Bukit kecik tak kira’. Dengar sahaja jawapan Abang Ki semua gelak. Kelihatan kawasan kemsite air mengalir diserata tempat, ruang terhad tapi kami bekerjasama mendirikan ‘fly & ground’ dikala hujan lebat dan kesejukan.

 Tapak perkhemahan bagaikan anak sungai, setelah semuanya siap dipasang kami beramai-ramai mengambil tempat untuk berehat walaupon dalam keadaan basah kuyup, semuanya masih tersenyum dan ceria. Sementara Ketua Ekspedisi dan krew menyediakan makan malam, ahli ekspedisi yang lain menghiburkan hati masing-masing dengan bermain permainan ‘Werewolf’ lagi. Gelak ketawa menemani kami semua sehingga ke malam hari. Kedengaran keluhan daripada ahli ekspedisi mengenang nasib dek kerana kelengkapan tidur yang basah. Budin & Sheikh merelakan diri menukar tempat tidur dengan ahli wanita dek kerana aliran air hujan membasahi tempat tidur. Ketika ini masing-masing tidur seperti udang dan ada antara mereka seperti tidur di dalam kolam. Kelihatan Budin tidak dapat tidur dengan lena sebab tempat tidurnya ada air bertakung.

 

Hari Kelima – 2 Januari 2018

 Menu :-

 Sarapan                        – Bihun Goreng Tomyam

 Makan Tengahari       – Nasi Putih & Sambal Telur

 Makan Malam             – Indomee Berlauk

 Masa :-

 0815 – Last Water Point (Kaki Gunung Noring Timur)

 1000 – Puncak Gunung Noring Timur

 1150 – Last Water Point (Kaki Gunung Noring Timur)

 1930 – Kem Sungai Y

Hari kelima yang Panjang & Berduri

           Misi diteruskan, selepas bersarapan kami bersiap untuk naik ke Puncak Gunung Noring Timur yang mengambil masa lebih kurang 1jam 30minit dari Kem Permatang. Namun Abang Kie telah berpesan agar kumpulan ekspedisi perlu membuat catuan makanan disebabkan cuaca buruk dan ekspedisi mungkin akan dipanjangkan sehari. Keadaan laluan ke puncak agak tegak dengan sudut kecuraman 75 darjah, berlumpur serta licin, adakalanya perlu melalui sungai dan jalan bersimpang siur.

 Dengan itu kesemua ahli ekspedisi perlu berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling agar tidak tersasar dari laluan yang betul. Tepat pada jam 1000, kami tiba di Puncak Gunung Noring Timur yang menjadi idaman. Tiupan angin di puncak amat kencang dan sejuk. Setelah last man/sweeper sampai, kami telah diarahkan untuk turun ke Tapak Perkhemahan untuk mengemas dan meneruskan perjalanan ke Kem Sungai Y. Wani yang pada ketika itu baru sampai puncak terus menjawab, ‘Baru sampai kot. Takkan dah nak turun.’ Kami perlu pantas memandangkan perjalanan dari kaki Noring ke kem Y memakan masa lebih kurang 8-9 jam. Ini lah pertama kali pergi trip mendaki kami hanya sempat berada di puncak selama 5 minit. Kami mula bergerak dari kemsite lebih kurang jam 14:00 petang. Perjalanan semakin mencabar kerana perlu mengubah laluan asal, dek kerana telah dirosakkan oleh sang gajah yang melalui kawasan tersebut. Jadi pihak Abang Kie dan Heri perlu membuka laluan baru dengan menebas semak samun bagi melancarkan perjalanan.

 Sesetengah tempat amat curam dan rapuh, Ketua Ekspedisi menasihatkan kami agar lebih berhati-hati dengan setiap langkah. Langit makin gelap dan menjelang malam, serangan agas bertalu-talu, laluan berduri perlu diharungi untuk sampai ke Kem Sungai Y. Disebabkan gangguan ‘makhluk ghaib’ menyebabkan kami berlegar-legar ditempat yang sama sebanyak 5 kali sebelum tiba ke Kem Sungai Y. Jam 1930 kami tiba di tempat yang dituju. Setelah siap mendirikan ‘fly & ground’, kami turun ke sungai berhampiran untuk membersihkan diri. Sepanjang ekspedisi hanya beberapa hari sahaja kami dapat peluang untuk mandi, selebihnya hanya bermandikan air hujan.

 Semasa team dapur ingin siapkan makanan, Heri bertanya, ‘Korang nak makan nasi ke indomee?’. Budin dengan pantas menjawab, ‘Apa-apa yang senang dan cepat Heri.’.Peserta lain pun mengiakan tanda setuju. Mungkin masing-masing sudah kepenatan dan tidak larat untuk menunggu lama. Sebaik sahaja selesai makan malam, kami rehatkan diri. Lebih kurang jam 03:30 pagi beberapa ahli ekspedisi terbangun dari lena kerana mendengar alunan suara seperti ‘Azan’ yang lunak dan suara seperti sekumpulan wanita sedang mandi dan bergelak tawa ditepian sungai. Tidur malam kami agak terganggu dek kerana bunyian tersebut.

 

Hari Keenam – 3 Januari 2018

 Menu :-

 Sarapan                        – Nasi Goreng Ikan Bilis

 Makan Tengah Hari   – Nasi Goreng Ikan Masin

 Makan Malam             – Bubur Nasi & Kicap Pedas

 Masa :-

 1100 – Kem Sungai Y

 1530 – Kem Suk Sakai

 1750 – Kem Sangkut (Tapak Perkhemahan Kecemasan)

Hari Keenam yang Mencabar & Catuan Makanan Bermula

          Pada hari keenam kami diberi taklimat bahawa tempoh masa ekspedisi terpaksa dilanjutkan daripada enam (6) hari kepada tujuh (7) hari disebabkan paras air sungai yang meningkat dan hujan lebat tanpa henti sejak lima (5) hari lalu, Abang Kie menasihatkan agar bekalan makanan dicatu untuk persediaan pada hari ketujuh. Selesai taklimat kami berangkat menuju ke Kem Suk Sakai, namun cabaran pertama bermula iaitu perlu mengharungi sungai pertama di Kem Y yang dalam dan berarus deras. Abang Kie & Heri memasang tali keselamatan untuk melintasi sungai. Setelah semua berjaya ke seberang sungai yang pertama, kami meneruskan perjalanan dengan melalui trek yang licin dan bersudut tegak adakalanya 75-80 darjah ketinggian.

           Sungai kedua berjaya dilalui, kemudian kami memutuskan untuk berehat untuk makan tengahari diseberang sungai.  Ketika sedang menikmati makan tengahari, mata kami terpandang pada salah satu species burung eksotik yang jarang ditemui iaitu Burung Belatuk Kelabu ataupon ‘Great Slaty Woodpecker’ sedang mengibas bulu pelepah pada dahan pokok. Burung Belatuk Kelabu merupakan species burung belatuk yang terbesar di dunia dan amat jarang ditemui, populasinya kini terancam dan diburu kerana nilainya yang tinggi. Manakala Heri pula terlihat salah satu susuk burung kelihatan seperti Burung Lang Rajawali ataupon ‘Black-Thighed Falconet’. Kedua-dua jenis burung ini adalah species yang dilindungi dan tertakluk dalam Akta 716 ,Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

           Perjalanan diteruskan, walaupun kami terpaksa mengharungi detik-detik cemas dan mencabar. Kami tiba di Kem Suk Sakai pada jam 1530 iaitu tapak perkhemahan pada hari pertama manakala Sungai Suk Sakai merupakan sungai terakhir kami buat hari keenam. Sebelum sampai ke Kem Sangkut laluan makin landai dan tenang, namun hampa kerana seperti yang dijangkakan air sungai berada pada paras merbahaya dan kami tidak dapat pergi ke seberang. Jam 1750 kami tiba di satu kawasan lapang dan membuka tapak perkhemahan kecemasan yang diberi nama Kem Sangkut diatas beting pasir mengunjur berbentuk bujur manakala dikiri dan kanannya adalah sungai. Kem Sangkut agak cantik kerana beting pasir yang luas, pohonan yang rendang dan berdekatan sumber air, walau bagaimanapon kami terpaksa menyalakan unggun api & memasang ubat nyamuk bagi menghindari serangan agas.

 Abang Kie telah menghubungi sahabat beliau bagi mendapatkan bantuan untuk membawa keluar kesemua ahli ekspedisi yang terkandas. Setelah selesai menyiapkan kelengkapan untuk bermalam, kami membersihkan diri sementara menunggu makan malam disediakan. Setelah selesai makan malam kami mengambil kesempatan untuk berehat dan berharap paras air sungai akan surut pada keesokkannya. Sekitar jam 0245 kami dikejutkan oleh sesuatu yang aneh dan bunyian berkekek diantara ‘fly’ dapur dan ‘fly’ ahli ekspedisi. Diselangi oleh beberapa kelibat aneh terbang mengelilingi ‘fly’ kami seperti kain lusuh berterbangan namun tidak kami hiraukan. Kehadiran ‘mereka’ semakin lama semakin banyak dianggarkan 7-8 ekor yang dipercayai Langsuir. Salah satu daripada Langsuir tersebut cuba untuk membuka tirai yang dipasang pada ‘fly’ dengan menarik tirai tersebut namun tidak berjaya. Setelah kami amati, terdapat sarang yang menjadi kediaman kepada Langsuir tersebut berhampiran dengan Kem Sangkut.

 Malam keenam merupakan malam yang panjang bagi kami dek kerana gangguan tersebut. Sebahagian daripada ahli ekspedisi tidak dapat tidur dengan lena dan kerap terjaga. Salah seorang daripada ahli bernama Syuk mendapati jarinya digigit oleh pacat dari species ‘Tiger Leech’ ataupon ‘Haemadipsa picta’ tubuh badan pacat ini terdapat belang hijau, bersaiz panjang dan lebar berbanding ‘Brown Leech’ ataupon ‘Haemadipsa zeylanica’ . Akibat daripada gigitan pacat tersebut beliau mengalami pendarahan yang banyak dan tidak dapat tidur sepanjang malam.

  

Hari Ketujuh – 4 Januari 2018

 Menu :-

 Sarapan – Maggi Asam Laksa + Kari Ayam + Bubur Nasi Segera

 Masa :-

 1030 – Kem Sangkut

 1415 – Empangan Sungai Terang

 1715 – RnR Jelawang

Hari Ketujuh yang Mengembirakan

          Hari terakhir ekspedisi, kami berkongsi menikmati sarapan iaitu Maggi Campur. Setiap ahli ekspedisi hanya diperuntukkan dua (2) sudu kerana catuan stok makanan. Sistem giliran diperkenalkan dimana setiap ahli perlu menunggu ketibaan periuk maggi dengan sabar dan tawaduk (HAHAHAHAHAHA). Ketika Sheikh sedang leka membersihkan diri di sungai, ‘Rusa wei rusa!’sambil tunjuk ke arah sungai. Kelihatan seekor Kijang yang disangka rusa tadi sedang berenang melintasi sungai. Tanpa melengahkan masa, Abang Ki, Heri dan Budin terus membuka langkah untuk mengejar kijang itu dari darat. Malang tidak berbau apabila Heri dilanggar oleh kijang tersebut dan disaksikan oleh Budin. Kijang tersebut berkemungkinan di kejar oleh pemangsa dan terpisah daripada kawanannya. Dinasihatkan supaya lebih berhati-hati agar tidak terserempak dengan Pemangsa tersebut dipertengahan jalan.

 Setelah selesai berkemas, Abang Kie memberi taklimat dimana kami semua akan keluar pada hari ini dan paras air sungai telah surut, namun perlu menggunakan tali keselamatan untuk menyeberangi sungai besar yang terakhir. Setelah kesemua ahli ekspedisi berjaya menyeberangi sungai, pihak penyelamat berjaya menemui kami bersama dengan kelengkapan khusus. Namun ianya bukanlah cabaran yang akhir untuk hari ini.

           Pada jam 1415 kami tiba di Empangan Sungai Terang dimana cabaran sebenar bakal bermula. Pihak penyelamat, Abang Kie dan Heri membuat persediaan dengan memasang tali keselamatan merentangi Empangan Sungai Terang untuk membawa kesemua ahli ekspedisi keluar. Arus deras dan paras air di empangan sememangnya mendebarkan. Dimulakan dengan pemindahan bag galas ke seberang empangan diselangai ahli ekspedisi. Diantara detik-detik mencemaskan apabila beg Akma yang terkeluar daripada ‘carabiner’ dan nyaris dihanyutkan oleh arus deras, namun berjaya diselamat oleh sahabat Abang Kie. Peserta perempuan diarahkan berpasangan dengan peserta lelaki untuk melintasi empangan tersebut. Kudin berpasangan dengan Hana, Amir dengan Wani dan Akma dengan Epi ( nasiblah korang dua-dua perempuan dua-dua tak pandai berenang.hahaha).

           Setelah pemindahan siap dilakukan, ke semua ahli ekspedisi kelihatan terharu dan gembira. Kami sempat bergambar pada hari terakhir sebelum menaiki lori yang telah menunggu, kemudian pemandu lori mengeluarkan sebuku roti dan kaya sebagai pengalas perut buat sementara. Dalam keadaan kesejukan kami menaiki lori menuju ke RnR Jelawang dan hujan mulai turun disepanjang perjalanan. Di pertengahan jalan kami bertembung dengan pihak bantuan penyelamat dan mereka memberikan pisang goreng kepada kami. Berkongsi agar semua dapat merasa. Pada jam 1715 tiba di RnR Jelawang, kami membersihkan diri, makan malam dan bersedia untuk pulang ke Kuala Lumpur.

           Lebih kurang jam 0200 kami tiba di LRT Gombak, maka berakhirlah episod Trans Noring Timur yang amat mengujakan dan ianya akan terpahat dihati setiap ahli ekspedisi kerana selama tujuh (7) hari kita mengharungi perjalanan bersama. Trans Noring Timur adalah suatu yang bermakna dan indah. Sekian sahaja kisah kami diakhiri dengan pantun seperti berikut.

 

Rumah api teguh di tanjung,

Jadi panduan kapal di laut,

Dua hati kukuh disambung,

Persahabatan kuat lagi memaut.

 

Budak-budak bermain air,

Simbah-menyimbah bersuka-suka,

Diri hendak berada hampir,

Berkongsi kisah suka dan duka.

 

Berbuih-buih air dikocak,

Mula jernih menjadi keruh;

Berkasih-kasih semua hendak,

Jerih-perih harus ditempuh.

 

Cengkerang siput dikutip orang,

Buat hiasan di dalam rumah,

Tiada luput kasih dan sayang,

Kerana Tuhan budi dicurah.

Karya asal          :        Zulkifli (Joe)

Suntingan          :        Akma

Pengulas            :        Zuhairi (Heri)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *